Carian
Perdana Menteri Mengesahkan Sistem Digital MAHB Telah Digodam – Tebusan RM45 Juta Dituntut
March 25, 2025 Nazrin

Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah mengesahkan bahawa sistem digital pengelola lapangan terbang kebangsaan MAHB telah digodam baru-baru ini, dengan kumpulan penggodam tersebut meminta tebusan $10 juta (~RM45 juta).

Beliau mengesahkan perkara ini sewaktu ucapannya di sambutan Hari Polis ke-218 di Kuala Lumpur, pagi ini. Beliau juga mengatakan bahawa perkara ini berlaku satu atau dua hari lalu, dan mengatakan bahawa kerajaan, mahupun MAHB tidak akan tunduk kepada tuntutan wang tebusan tersebut.

Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengatakan bahawa kerajaan akan memperuntukkan lebih banyak dana untuk memperkukuhkan lagi keselamatan sistem siber Malaysia, tetapi tidak menerangkan bagaimanakah sistem keselamatan ini akan dinaiktarafkan buat masa ini.

Butiran tentang serangan godaman ini adalah terhad buat masa ini, tetapi menurut apa yang dapat diperlihatkan di platform media sosial, nampaknya salah satu sistem yang dilihat terjejas ialah sistem paparan butiran penerbangan, sistem kaunter daftar masuk dan juga sistem pengendalian bagasi penumpang.

Gangguan ini berterusan selama 10 jam, dan buat masa ini nampaknya pihak MAHB masih belum mengeluarkan kenyataan mengenai isu godaman ini.

Komen