Snapdragon 8s Elite Tidak Akan Dilengkapi CPU Oryon Yang Digunakan Snapdragon 8 Elite
Effi Saharudin
Cip Snapdragon 8 Elite pada waktu ini ialah cip paling berkuasa untuk telefon pintar 2025. Ia berjaya mengatasi bukan sahaja Apple A18 Pro tetapi juga Dimensity 9400. Pengguna CPU Oryon baharu menjadi kunci kepada peningkatan prestasi mendadak berbanding Snapdragon 8 Gen 3. Qualcomm kelak akan melancarkan Snapdragon 8s Elite dan maklumat yang tertiris menunjukkan ia akan mempunyai prestasi lebih rendah berbanding 8 Elite.

Ini adalah kerana 8s Elite tidak akan dilengkapi CPU Oryon. Sebaliknya CPU Cortex-X4 yang digunakan pada 8 Gen dan 8s Gen akan digunakan. Konfigurasi teras ialah 1x Cortex-X4, 3x Cortex-A720 dan 4x Cortex-A520 serta akan menggunakan teknologi 4nm sahaja. Peningkatan prestasi terletak pada GPU baharu Adreno 825 sahaja jika dibandingkan dengan 8 Gen 3 dan 8s Gen 3.
Jelas Snapdragon 8s Elite ialah cip yang menyasarkan penggunaan pada peranti premium mampu milik. Setakat ini iQOO Z10 Turbo Pro dilaporkan akan menjadi peranti pertama yang menggunakan cip ini. Berdasarkan pengalaman kami, kelebihan 8 Elite bukan sekadar mempunyai kuasa pemprosesan yang tinggi tetapi penggunaan bateri yang lebih rendah kerana teknologi 3nm. Oleh itu hanya masa boleh menentukan sama ada mengitar semula teknologi tahun 2024 akan membawakan hasil kepada 8s Elite.
[sumber] GSMArena [/sumber]