Carian
Kekunci Pintasan Windows + C Akan Kembali Untuk Pengguna Windows 11
March 25, 2025 • Fahim Zahar

Bukan pengguna macOS sahaja mahir dalam penggunaan kekunci pintasan pada papan kekunci untuk memudahkan kerja harian. Windows juga ada banyak, cuma kami menggunakan kekunci Windows atau Ctrl berbanding bergantung kepada kekunci Command. Terbaru, kekunci pintasan Windows + C akan kembali selepas sokongannya dihentikan seketika.

Pada awalnya, Windows + C adalah kekunci pintasan untuk menyeru Cortana. Kemudian selepas kematian Cortana dan era panggilan telesidang, kekunci ini digunakan untuk melancarkan Microsoft Teams. Ia kemudian digunakan untuk menyeru Copilot, sehinggalah kekunci khas Copilot diperkenalkan – Windows + C tidak lagi boleh digunakan. Dalam laporan XDA Developers yang memetik perkongsian X PhantomOfEarth – Microsoft dilihat sedang menguji untuk mengembalikan kekunci pintasan Windows + C ini.

Sumber menyatakan dalam tetapan sistem Windows nanti akan ada tetapan untuk menetapkan kekunci pintasan. Ia dikatakan pengguna sendiri boleh pilih apa akan berlaku jika kekunci Copilot atau Windows + C ditekan. Tetapan baharu ini turut dikatakan membenarkan pengguna tekan untuk mengakses menu konteks dari dalam mana-mana aplikasi yang dilancarkan dengan kekunci tadi. Sama-sama kita nantikan kemas kini ini.

Komen