Carian
Peranti Terbaik Raya Amanz 2025
March 28, 2025 Penulis Tamu

Hari Raya Aidilfitri tiba lagi dan seperti tahun sebelum ini kami senaraikan Peranti Terbaik Raya Amanz untuk tahun 2025. Tahun ini berbeza kerana kami hanya memberikan anugerah dalam dua kategori sahaja iaitu Peranti Terbaik Raya dan Peranti Nilai Terbaik Raya.

Dengan saranan yang kami berikan di bawah, kami merasakan anda tidak akan terasa seperti membazirkan wang yang dikumpul sebagai duit raya atau wang bonus untuk membelinya. Jadi tanpa melengahkan masa lagi, ini senarai Peranti Terbaik Raya dan Nilai Terbaik Raya mengikut editor di Amanz.


Peranti Terbaik Raya Amanz 2025

Oppo Find N5 – Effi Saharudin

Saya memilih Oppo Find N5 sebagai peranti terbaik kerana ia akhirnya menyelesaikan pelbagai rungutan yang sering didengari daripada pengguna peranti skrin lipat. Pertama sekali Find N5 mempunyai tubuh yang nipis hanya sedikit lebih tebal berbanding iPhone 16 Pro Max atau Galaxy S25 Ultra. Ianya juga lebih penting sekali ringan dibandingkan dengan peranti lipat lain.

Tiada kompromi juga pada bateri yang sebesar 5600 mAh dengan pengecasan 80W. Ini ialah kapasiti yang lebih besar berbanding peranti mercu lain di pasaran. Sistem kamera juga tak kurang hebatnya kerana terdapat sistem Hasselblad. Bagi pengguna macOS, N5 juga peranti pertama boleh mengakses MacBook dan iMac anda terus dari skrinnya. Ciri yang Apple sendiri tidak berikan pada iPhone.

Spesifikasi: 6.62/8.12 ” OLED LTPO 120Hz LTPO, Snapdragon 8 Elite 7 Teras (3nm) (2X Oryon V2 Phoenix L 4.32GHz + 5X Oryon V2 Phoenix M 3.53GHz, 16GB RAM, storan 512GB, 50+8+50 (Utama), 20+20MP (Swafoto), 5600 mAh (80W), Android 15.

Harga: RM7999 (16/512GB)


Vivo X200 Pro – Amy Maizuraa

Peranti raya terbaik 2025 pilihan saya ialah vivo X200 Pro. Ia merupakan sebuah peranti menarik yang elegan, premium, dan mewah. Telefon ini dilengkapi kamera beresolusi 200MP yang menggunakan teknologi AI serta sistem kamera ZEISS menjadikan gambar semasa Hari Raya lebih menyerlah dan berkualiti tinggi.

Selain itu, telefon ini dikuasai oleh cip Dimensity 9300 berkuasa dengan kemampuan multi-tugas yang lancar. Skrin AMOLED bersaiz 6.8 inci beresolusi tinggi pula menawarkan pengalaman visual yang sangat memuaskan menjadikannya sesuai digunakan untuk menonton video atau melayari media sosial. Selain itu, kapasiti bateri peranti juga mencukupi untuk memenuhi keperluan harian.

Spesifikasi: 6.78″ AMOLED, 120Hz, HDR10+, 4500 nits, Dimensity 9400 (3nm) (1×3.63 GHz Cortex-X925, 3×3.3 GHz Cortex-X4 & 4×2.4 GHz Cortex-A720), Immortalis-G925, 16GB RAM, storan dalaman 512GB, 50+50+200MP (Utama), 32MP (Swafoto), 6000 mAh (90W), Android 15.

Harga:  RM4699 (16/512GB)


ASUS ROG Phone 9 Pro Edition – Nazrin Zain

Dari segi prestasi, ROG Phone 9 Pro Edition yang saya ulas tidak jauh berbeza apabila dibandingkan dengan model sebelumnya, akan tetapi, apa yang saya benar-benar suka mengenai peranti pintar gaming terbaru ini ialah ASUS telah memperkenalkan fungsi AI terbina yang benar-benar berguna untuk gamer, khususnya untuk peminat tegar permua seperti Genshin Impact, Honkai Star Rail, Mobile Legends dan Honor of Kings.

Ciri X Sense 2.0 memperkenalkan ciri-ciri seperti mempercepatkan dialog dan mengutip barang (berguna untuk pemain Genshin Impact) dan memuatkan skill-skill watak dalam permainan kepada slot yang sepatutnya apabila mereka level up (berguna untuk pemain Mobile Legends dan Honor of Kings). Lebih penting sekali ialah bateri 5800 mAh menawarkan pengalaman penggunaan yang lama. Dalam perjalanan balik kampung tak perlu risau kehabisan bateri.

Spesifikasi: 6.78” LTPO AMOLED, FHD+, 185Hz, Snapdragon 8 Elite (3nm) (2X Oryon V2 Phoenix L 4.32 GHz + 6X Oryon V2 Phoenix M 3.53 GHz), Adreno 830, 24GB RAM, storan 1000 GB, 50+32+13MP (Utama), 32MP (Swafoto), 5800 mAh (65W), Android 15.

Harga: Bermula RM5999 (24/1000GB)


Oppo Find X8 – Amzari

Tidak seperti editor lain di atas, saya memilih Oppo Find X8 yang bukanlah versi paling mercu ditawarkan Oppi untuk siri Find X8. Ini kerana saya hanya mengulas peranti dalam kelas ini di Amanz memandangkan saya hanyalah seorang intern. Sungguhpun begitu Find X8 bukanlah sebuah peranti yang bole dipandang ringan.

Seperti abang besarnya Find X8 Pro, Find X8 juga dilengkapi cip Dimensity 9400 yang berkuasa, tri-kamera 50MP Hasselblad dan sistem operasi ColorOS 15 yang saya rasakan paling lancar untuk peranti Android tahun ini. Walaupun ia sebuah “peranti kecil” ia masih dilengkapi bateri 5630 mAh yang bertahan sepanjang hari.

Spesifikasi: 6.59” LTPO AMOLED 120H, Dimensity 9400 (3 nm)(1X Cortex-X925 3.63 GHz + 3X Cortex-X4 3.3 GHz + 4X Cortex-A720 2.4 GHz), Immortalis-G925, 16GB RAM, storan 512 GB, 50+50+50MP (Utama), 32MP (Swafoto), 5630 mAh (80W), Android 15.

Harga: Bermula RM3699 (16/512GB)


Peranti Nilai Terbaik Raya Amanz 2025

Xiaomi 15 – Effi Saharudin

Saya mempunyai prejudis dengan telefon bersaiz kompak kerana lazimnya ia adalah versi kurang menarik jika dibandingkan dengan model lebih besar. Tetapi Xiaomi 15 mengubah persepsi saya kerana walaupun ianya kecil, ia masih lebih baik berbanding peranti lain yang lebih besar saiznya. Skrin mungkin hanya 6.36″ tetapi masih 120Hz dan menyokong Dolby Vision. Cip Snapdragon 8 Elite memastikan prestasi pantas sepanjang masa.

Kekuatan sebenar Xiaomi 15 ialah sistem tri-kamera 50MP yang dipadankan dengan lensa Leica. Kemampuan kamera Xiaomi 15 tidak boleh dinafikan dengan setiap gambar nampak dramatik dan sinematik. Ini semuanya ditawarkan kepada pengguna pada harga bermula RM3499 yang sangatlah berbaloi.

Spesifikasi: 6.26 ” AMOLED LTPO 120Hz, Snapdragon 8 Elite (3nm) (2X Oryon V2 Phoenix L 4.32GHz + 6X Oryon V2 Phoenix M 3.53GHz, 12B RAM, storan sehingga 512GB, 50+50+50 (Utama), 32MP (Swafoto), 5240 mAh (890W), Android 15.

Harga: Bermula RM3499 (12/256GB)


Oppo Find X8 Pro – Amy Maizuraa

Peranti nilai terbaik 2025 pilihan saya ialah Oppo Find X8 Pro. Ia merupakan sebuah peranti dengan rekaan yang baik melalui skrin AMOLED bersaiz 6.78-inci 120Hz yang lancar dan pantas. Peranti juga boleh menjadi pilihan yang sangat sesuai untuk menonton filem atau bermain permainan. Selain itu dikuasai dengan cip berkuasa Mediatek Dimensity 9400 yang baik untuk pelbagai tugasan sama ada bermain pemua atau melayari web.

Dengan bateri berkapasiti 5910mAh dan pengecasan pantas 80W menjadikan anda tidak perlu bimbang tentang masalah kehabisan bateri semasa membuat persiapan raya. Selain itu, kamera canggih dengan kerjasama Hasselblad turut boleh merakam kenangan yang indah bersama keluarga.

Spesifikasi: 6.78″ LTPO AMOLED 120Hz, 4500 nits, Dimensity 9400 (3nm) (1×3.63 GHz Cortex-X925, 3×3.3 GHz Cortex-X4 & 4×2.4 GHz Cortex-A720), Immortalis-G925, 16GB RAM, storan dalaman 512GB, 50+50+50+50MP (Utama), 32MP (Swafoto), 5910 mAh (80W), Android 15.

Harga:  RM 4999 (16/512GB)


Tecno Camon 40 Pro – Nazrin Zain

Rakan-rakan editor saya masih memilih peranti mercu sebagai peranti nilai terbaik tetapi izinkan saya berfikir di luar kotak. Tecno Camon 40 Pro dilengkapi skrin AMOLED 120Hz, kamera utama 50MP dengan OIS, dan kemampuan kali air IP69. Semua ini dijual pada harga RM899 sahaja.

Adalah jarang sekali melihat kesemua ciri ini pada peranti yang dijual pada harga bawah RM1000. Tetapi hakikatnya sejak Tecno memasuki Malaysia, mereka dominan dalam pasaran peranti mampu milik yang hadir dengan spesifikasi yang lebih tinggi berbanding pesaing mereka. Poco dan Redmi sekalipun tak berani menggunakan teknik pemasaran Tecno ini.

Spesifikasi: 6.78” AMOLED, FHD+, 120Hz, Helio G100 Ultimate (6nm) (2X Cortex-A76 2.2 GHz + 6X Cortex-A55 2.0 GHz), Mali-G57 MC2, 8GB RAM, storan 256 GB, 50+8 MP (Utama), 50MP (Swafoto), 5200 mAh (45W), Android 15.

Harga: Bermula RM899 (8/256GB)


Nothing Phone (3a) Pro – Amzari

Hari Raya biasanya disambut dengan pelita dan mercun. Jadi saya pilih Nothing Phone (3a) Pro sebagai peranti nilai terbaik raya 2025 kerana ia mempunyai sistem lampu Glyph di belakang. Dengan ini tanpa pelita dan mercun sekalipun anda boleh menikmati persembahan lampu lip-lap seperti di kampung.

Juga tidak boleh dinafikan Phone (3a) Pro dilengkapi cip Snapdragon 7s Gen 3 yang walaupun bukan yang paling berkuasa masih mampu menawarkan pengalaman penggunaan yang tidak mengecewakan. I turut mempunyai sistem kamera teleskop yang tidak begitu kerap ditawarkan pada peranti kelas pertengahan.

Spesifikasi: 6.77” AMOLED 120H, Snapdragon 7s Gen 3 (4 nm)(1X Cortex-720 2.5 GHz + 3X Cortex-720 2.4 GHz + 4X Cortex-A520 1.8 GHz), Adreno 720, 12GB RAM, storan 256GB, 50+8+50MP (Utama), 50MP (Swafoto), 5000 mAh (50W), Android 15.

Harga: RM1999 (12/256GB)


Baiklah ini ialah senarai Peranti Terbaik Raya Amanz 2025. Kami gunakan kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitra kepada semua pembaca serta maaf analog dan dihgital daripada kami di Amanz. Jika panjang umur berjumpa kita lagi di tahun depan.

Komen