Google Gemini, OpenAI ChatGPT, dan beberapa lagi penyedia perkhidmatan chatbot kecerdasan buatan generatif mempunyai sokongan perbualan suara. Pengguna boleh berbual dengan chatbot seakan berbual dengan manusia yang menggunakan bahasa mudah faham serta tona percakapan yang semula jadi. Terbaru, ChatGPT telah dikemaskini untuk lebih menghormati pengguna.
Kemas kini ini bukan kerana ChatGPT menjadi biadab kepada pengguna, sebaliknya ia dikemaskini agar dalam Advance Voice Mode (mod suara maju?) ketika pengguna sedang berfikir atau percakapan dijeda – ChatGPT tidak akan potong pengguna. ChatGPT kini akan sabar dan tunggu sehingga pengguna selesai. Ramai mengadu kepada OpenAI sebelum ini yang ChatGPT kerap memotong percakapan pengguna sehingga soalan belum dapat disampaikan AI ini sudah mula menjawab dengan salah.
Menariknya, kemas kini baharu ini diberikan kepada semua pengguna berbayar dan juga pengguna percuma. Cuma khas untuk pengguna berbayar, mod perbualan ini akan menjadi lebih menawan, lebih secara terus dan tepat dengan ia tidak akan memutarbelitkan soalan pengguna.