Carian
MDA Mengharamkan Penjualan Kanta Sentuh Secara Atas Talian
March 26, 2025 Nazrin

Kanta sentuh secara lazimnya digunakan sebagai alat penglihatan yang boleh digunakan oleh mereka yang rabun tetapi tidak mahu menggunakan cermin mata, dan ia juga boleh digunakan sebagai aksesori solekan untuk memperlihatkan warna mata yang berbeza.

Secara lazimnya, ia hanya sepatutnya dijual oleh kedai-kedai optometri yang berlesen dan hanya boleh dijual secara preskripsi, tetapi terdapat banyak jenama kanta sentuh solekan yang boleh dibeli di platform-platform jual-beli atas talian.

Baru-baru ini, Medical Device Association (MDA) telah mengeluarkan kenyataan bahawa produk-produk optikal, khususnya kanta sentuh hanya boleh dijual oleh kedai-kedai optometri yang beroperasi secara sah, dan pihak MDA tidak pernah meluluskan kebenaran untuk pengiklanan dan penjualan produk tersebut secara atas talian.

Pihak MDA mungkin sedar bahawa kebelakangan ini terdapat banyak jenama kanta sentuh tempatan dan antarabangsa yang dijual secara terbuka, khususnya di platform atas talian, dan oleh sebab itu, telah mengeluarkan kenyataan ini.

Pengumuman yang dibuat ini juga adalah untuk memastikan bahawa orang ramai sedar akan undang-undang sedia ada seperti Akta Optik 1991, Seksyen 30 yang dibuat oleh Majlis Optik Malaysia dan juga Peraturan-Peraturan Peranti Perubatan (Pengiklanan) 2019. Melanggar undang-undang ini dengan menjual kelengkapan optik dan kanta sentuh tanpa kebenaran ini boleh menyebabkan seseorang individu untuk didenda tidak melebihi RM200,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun.

Komen