23andMe ialah sebuah syarikat ujian genetik yang membolehkan pengguna untuk melihat salasilah keturunan mereka menggunakan air liur. Ia merupakan sebuah ujian yang mahal, tetapi sangat popular di kalangan orang ramai untuk mencari asal-usul mereka.
Akan tetapi, oleh kerana permintaan untuk kit ujian mereka yang semakin menurun, dan juga insiden pencerobohan data yang berlaku pada tahun 2023 yang menyebabkan data peribadi 7 juta pelanggan perniagaan tersebut telah tertiris ke arena web gelap. Kedua-dua perkara ini menyebabkan syarikat tersebut, yang mempunyai dinilai setinggi $6 bilion tidak lama dahulu kini terpaksa memfailkan untuk muflis, dan dijangka akan menjual semua aset-aset mereka dalam masa terdekat ini.

Untuk membantu proses penutupan syarikat ini, CEO 23andMe, Anne Wojcicki telah meletakkan jawatan, tetapi masih kekal sebagai ahli lembaga pengarah syarikat tersebut. Proses penjualan aset syarikat ini akan dikelolakan oleh pihak mahkamah untuk mendapatkan nilai tertinggi daripada jualan tersebut.
Satu kerisauan yang tertera kepada mereka yang telah menggunakan perkhidmatan pemeriksaan genetik ini ialah bagaimana data mereka akan dikendalikan. 23andMe mengatakan bahawa kebarangkalian besar bahawa data tersebut akan dijual kepada pembida yang tertinggi.
Polisi privasi syarikat tersebut mengatakan bahawa walaupun data tersebut dijual ataupun bertukar tangan dengan syarikat lain, mereka menjanjikan bahawa ia akan kekal selamat, tetapi perkara ini boleh diubah pada bila-bila masa sahaja.
Pengguna yang tidak mahu data mereka dijual kepada syarikat lain disarankan untuk memadamkan data pengguna mereka di 23andMe sebelum ia berlaku, dan pengguna tidak lagi boleh memadamkannya di masa hadapan.