Dadah jenis fentanil kini dikesan di Lembah Klang selepas kehadirannya dikesan dalam sampel air kumbahan di Lembah Subang. Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (NCID) berjaya mengesannya dengan bantuan Universiti Kebangsaan Malaysia dan ini ialah bukti kilang menghasilkan candu sintetik ini terletak berhampiran.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan turut dipetik berkata fentanil kini turut dikesan sampel air dari Johor. Teknik analisa air kumbahan ini akan digunakan oleh PDRM untuk melakukan risikan dan mencari lokasi kilang dadah fentanil kerana carian kini boleh disasarkan dengan lebih baik.

NCID dan UKM telah melakukan kerjasama sejak 2022 dengan tumpuan kepada penyelidikan saintifik berkaitan bahan terlarang, termasuk bahan psikoaktif baharu (NPS) dan usaha membendung pengeluaran dadah secara haram. Kerjasama ini memperoleh pembiayaan sebanyak RM 8.4 juta daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) dengan enam pakej kerja telah digariskan merangkumi aspek pembangunan teknologi, penyelidikan, forensik, pengurusan data dan pembinaan kapasiti.
Dadah dari jenis fentanil ini mempunyai nama jolokan “dadah zombi” kerana penggunanya akan kelihatan seperti zombi yang mati segan hidup tak mahu. Penularan fentanil di Amerika Syarikat kini di tahap serius dengan penagih berdiri secara berkumpulan di tempat terbuka dan pasukan polis dilengkapi penyembur NARCAN bagi menyelamatkan nyawa jika berlaku insiden dos berlebihan.
Oleh sebab situasi semakin serius, Presiden Trump mengenakan tarif tinggi kepada Kanada dan Mexico bagi memaksa pihak berkuasa dua negara Amerika mengetatkan pemeriksaan di sempadan supaya fentanil sukar diseludup masuk.