iBoff ialah sebuah syarikat tempatan yang membantu pengguna untuk menaiktarafkan storan pada peranti-peranti Mac mereka. Seperti yang sedia maklum, Mac Mini M4 keluaran Apple yang terbaru hadir dengan tanda harga jualan tempatan yang sangat menarik, menjadikannya komputer desktop yang paling berbaloi untuk dibeli pada hari ini.
Pada harga RM2499, Mac Mini M4 hadir dengan storan sebesar 256GB sahaja. Untuk memperbaiki masalah ini, iBoff baru-baru ini telah membuka tempahan untuk storan Mac Mini yang hadir dengan saiz storan 1TB ataupun 2TB.

Melalui laman web mereka, ia juga diperlihatkan bahawa mereka mempunyai servis menaiktarafkan storan untuk anda, atau jika anda seorang yang yakin dengan kebolehan untuk membuka dan memasang semula Mac Mini anda, terdapat video panduan bagaimana untuk membuka dan memasang storan SSD pada Mac Mini anda.
Ia juga memperlihatkan bagaimana storan iBoff dilihat setanding dari segi prestasi apabila dibandingkan dengan storan Apple sendiri.
Buat masa ini, storan 1TB dan 2TB iBoff, yang menggunakan cip storan Kioxia (1TB, $180) dan SanDisk (2TB, $270) masih lagi berada dalam fasa pra-tempahan, dan akan mula dijual bermula 30 April ini.