Carian
Anda Kini Boleh Makan Dulu, Bayar Kemudian Di KFC Dengan QSR PayFlex
March 27, 2025 Nazrin

Kentucky Fried Chicken, ataupun lebih dikenali sebagai KFC ialah sebuah rantaian restoran makanan segera yang terkenal untuk ayam goreng mereka, sudahpun bertapak di Malaysia untuk beberapa puluh tahun.

Jika anda kini merasakan bahawa membeli makanan di KFC adalah mahal, restoran tersebut telah memperkenalkan perkhidmatan BNPL ataupun bayaran fleksibel mereka sendiri yang dinamakan QSR PayFlex yang dikuasakan oleh Boost Credit.

Secara ringkasnya, QSR PayFlex membolehkan pengguna untuk membayar pembelian makanan di KFC Malaysia secara tiga kali ansuran dalam masa tiga bulan dengan pembelian minima RM10. Untuk sebarang pembelian dibawah RM100 yang dibuat dengan pembayaran QSR PayFlex, yuran wakalah RM5 akan perlu dibayar, dan untuk pembelian melebihi RM100, yuran wakalah yang perlu dibayar ialah RM10. Yuran ini termasuk didalam pinjaman BNPL juga.

Untuk pembayaran lewat, satu peratus daripada jumlah transaksi BNPL akan dikenakan setiap hari sehingga baki bulan tersebut dibayar. Untuk setiap bulan ansuran, kadar keuntungan 2.5 peratus daripada jumlah transaksi BNPL juga akan dikenakan dan perlu dibayar sepanjang tempoh bayaran semula pinjaman tersebut.

Untuk mendaftar menggunakan ciri QSR PayFlex ini, anda boleh ke laman web mereka untuk mendaftarnya, dan kemudian imbas kod QR yang tertera di akaun anda di kiosk ataupun kaunter pembayaran di mana-mana restoran KFC di Malaysia untuk menggunakannya.

Setiap pendaftaran baru akan menerima baucar digital bernilai RM5, dan pembelian RM50 keatas pertama akan menerima baucar digital bernilai RM10.

Jika anda berminat untuk mengetahui lebih lanjut tentang perkhidmatan BNPL KFC Malaysia ini, anda boleh ke laman web KFC Malaysia.

Komen