Carian
Sehingga 80% Pusat Data AI Di China Tidak Digunakan Kerana Permintaan Rendah
March 28, 2025 Effi Saharudin

Penghujung tahun lalu Malaysia, UAE, Amerika Syarikat, dan negara EU kesemuanya mengumumkan projek pusat data yang bernilai ratusan bilion sebagai usaha memenuhi keperluan pemprosesan kecerdasan buatan (AI) yang dilihat menguntungkan. Ini turut berlau di China namun menurut laporan MIT Technology Review, sehingga 80% pusat data AI negara tersebut tidak digunakan kerana permintaan yang rendah.

Antara penyebab berlakunya pengurangan permintaan ialah inovasi DeepSeek yang melatih model AI dengan perkakasan yang berkuasa da kos lebih rendah. Pada waktu yang sama pembinaan pusat data yang tidak mengikut keperluan semasa menyebabkan perkakasan yang digunakan tidak memenuhi keperluan pelanggan.

Euforia membangunkan model AI sendiri yang berkurangan juga menjadi faktor. Banyak syarikat melakukan kajian awal sebelum tidak lagi meneruskannya atas faktor kos yang tinggi. Namun begitu terdapat kepercayaan pusat-pusat data ini akan akhirnya digunakan kerana pelbagai sekatan yang dikenakan oleh Amerika Syarikat. Apabila sekatan mula menjadi isu besar, kelengkapan yang sudah terbina ini masih boleh digunakan syarikat tempatan yang tidak mempunyai pilihan.

Apa yang berlaku di China juga kini mula berlaku di negara Barat. Minggu ini muncul laporan Microsoft membatalkan perjanjian menggunakan beberapa pusat data di Amerika Syarikat dan Eropah. Ini adalah perkembangan yang pastinya mendatangkan kerisauan di negara-negara lain dunia.

Komen