Dalam kemaskini program Windows Insider sistem operasi Windows 11 terbaru, ia telah ditemui bahawa Microsoft kini membenarkan pengguna untuk menggunakan dua jenis sistem fail, termasuklah NTFS yang merupakan sistem fail yang digunakan untuk memasang sistem operasi Windows 11, dan juga sebuah sistem fail baru yang dikenali sebagai ReFS.
ReFS, atau dikenali sebagai Resilient File System ialah sebuah sistem fail hadir dengan sokongan untuk pemetakan (partitioning) fail sebesar 35 Petabyte. Kelebihan pemetakan sistem fail ReFS ini ialah ia membantu dalam meningkatkan integriti data, menambahkan prestasi storan, dan seperti yang dikatakan, menyokong pemetakan gergasi tersebut, sesuai untuk mereka yang melarikan pengkalan data dengan jumlah storan gergasi.
Melalui tangkapan layar yang diperlihatkan, format sistem fail ReFS ini boleh diakses apabila pengguna cuba untuk memasang sistem operasi Windows 11. Tetapi satu kelemahan yang diperlihatkan pada ReFS ialah ia tidak boleh digunakan sebagai boot drive dan removable drive sesebuah komputer, jadi penawaran pemasangan sistem operasi ini adalah sesuatu yang dijangka akan diperbetulkan oleh Microsoft kelak.

Tetapi ia nampaknya benar bahawa Windows 11 akan menawarkan penggunaan sistem fail ReFS melalui versi binaan Build 27823 terbaru mereka. Sokongan fail sistem baru ini akan membolehkan mereka yang menggunakan komputer dengan jumlah storan besar untuk menggabungkan pelbagai storan cakera keras atau SSD mereka dalam satu storan gergasi, seperti teknologi virtualisasi storan RAID (Redundant Array of Disks).
Buat masa ini ia tidak diketahui lagi bilakah Microsoft akan memperkenalkan sokongan terbina ReFS ini untuk sistem operasi Windows 11 secara besar-besaran.