Kapal pengangkut pesawat digunakan kuasa besar dunia untuk mengembangkan kemampuan ketenteraan mereka. Pesawat boleh dihantar menyerang musuh dari mana-mana lokasi apabila diperlukan. Kini konsep kapal pengangkut akan digunakan pula di angkasa lepas menerusi projek yang disokong oleh Angkatan Angkasa Amerika Syarikat (Space Force).

Langkah pertama telah dimulakan dengan kontrak prototaip kapal pengangkut angkasa lepas diberikan kepada syarikat Gravitics, Inc. Amerika Syarikat ingin mempunyai kapal pengangkut yang menempatkan beberapa kenderaan angkasa lepas di dalamnya. Ia hanya akan dilancarkan apabila diperlukan. Ini mungkin dalam bentuk satelit gantian sekiranya satelit intipan sedia ada gagal berfungsi atau telah dimusnahkan musuh.
Dalam situasi semasa, satelit gantian perlu dilancarkan dari bumi dan ini mungkin memakan masa beberapa minggu kerana kargo perlu diperiksa, disimpan dalam ruang kargo roket dan roket sendiri perlu diperiksa sebelum boleh dilancarkan. Kemudian terdapat faktor cuaca yang boleh menyebabkan pelancarannya dibatalkan. Dengan kapal pengangkut angkasa, satelit gantian dilancarkan serta merta kerana sudahpun berada di orbit.
Saiz kapal pengangkut angkasa lepas yang ingin dibangunkan Amerika Syarikat adalah kecil. Kita mungkin perlu menunggu lebih lama sebelum kapal pengangkut sebesar Star Destroyer atau Macross SDF-1 menjadi realiti.