Kes penipuan dalam talian semakin membimbangkan dengan kerugian lebih RM19 juta direkodkan sehingga awal Mac 2025. Menurut laporan Bernama, sebanyak 2,328 kes telah dilaporkan yang menunjukkan peningkatan sebanyak 36.9% berbanding tempoh yang sama tahun lalu.
Polis menasihatkan orang ramai agar lebih berhati-hati semasa membuat pembelian atas talian, terutama apabila melibatkan tawaran yang kelihatan terlalu menarik. Selain itu, orang ramai dinasihatkan agar hanya membuat transaksi melalui platform e-dagang yang selamat, serta menyemak nombor akaun dan telefon penjual melalui portal SemakMule sebelum membuat sebarang pembayaran.

Polis juga memaklumkan bahawa pihaknya telah mengenal pasti sindiket penipuan yang menggunakan poster palsu bertemakan “Ramadan Bersama Shopee” untuk menipu pembeli. Modus operandi sindiket ini adalah dengan memanipulasi poster tersebut dan memasukkan nombor telefon mangsa sebagai pemenang pertandingan.
Mangsa kemudian dihubungi dan diarahkan untuk mengaktifkan Shopee PayLater bagi membuat tuntutan. Orang ramai diingatkan supaya peka terhadap sindiket penipuan seperti ini untuk mengelakkan daripada menjadi mangsa, terutama pada musim perayaan.