Saintis China mengumumkan kejayaan memindahkan hati khinzir ke dalam tubuh seorang penerima manusia minggu ini. Prosedur xenotransplan ini dilakukan penyelidik dari Hospital Xijing di Universiti Perubatan Tentera Keempat keatas seorang penerima yang sudahpun disahkan mengalami kematian otak. Selepas beberapa jam organ dipindahkan, aliran darah dan pengeluaran hempedu berjaya dikesan menunjukkan organ berfungsi secara normal.
Eksperimen berterusan selama 10 hari sebelum ahli keluarga meminta ia ditamatkan. Sepanjang tempoh tersebut organ tidak ditolak oleh tubuh penerima dan beroperasi tanpa sebarang isu. Hari khinzir daripada baka Bama digunakan dengan ia menjalani enam perubahan genetik supaya boleh digunakan manusia. Penerima pual diberikan ubat penghalang imun bagi mengelakkan hati baharu ditolak.

Khinzir baka Bama digunakan saintis sebagai analog manusia kerana ianya pantas dibiakkan, kos rendah, saiz organ setara dengan manusia dan mempunyai ciri fisiologi yang juga sama dengan manusia. Ia juga digunakan untuk kajian perubatan kardiovaskular, gastrointestinal, sistem renal, dan kulit sebagai analog tubuh manusia.
Ini ialah kali pertama hati khinzir dipindahkan ke dalam tubuh manusia dengan kertas kajian diterbitkan dalam jurnal Nature untuk kajian setara. Sebelum ini penyelidik di Pennsylvania berjaya menyambungkan hati khinzir kepada penerima manusia yang juga mengalami kematian otak. Sepanjang eksperimen hati berada di luar tubuh.
Setakat ini ginjal dan jantung manusia telah berjaya dipindahkan ke dalam tubuh manusia. Di Amerika Syarikat seorang wanita kini menjadi penerima ginjal khinzir yang paling lama hidup awal tahun ini. Penerima jantung khinzir pula meninggal dunia bulan selepas menjalani prosedur kerana jangkitan virus khinzir yang gagal dikesan. Selain menggunakan organ khinzir sebagai gantian, jantung gantian juga telah dihasilkan menggunakan sel tunjang manusia dan kerangka jantung khinzir pada tahun 2022.