Carian
Paparan E-Paper Dengan Saiz 31.2 Inci Sedang Dibangunkan Di China
March 28, 2025 Nazrin

Paparan e-paper ataupun e-ink secara lazimnya digunakan pada peranti-peranti mampu milik ataupun pembaca buku digital yang menjanjikan penggunaan kuasa elektrik yang rendah, sangat berguna untuk kelengkapan elektronik yang mahukan sebuah paparan, tetapi tidak mahu memerlukan bateri yang besar.

Terkini, ia telah dilaporkan bahawa sebuah syarikat di China, iaitu Guangzhou Aoyi Electronic Technology Co Ltd sedang bekerjasama dengan sebuah lagi syarikat, Shenzhen Jin Yatai Technology Co Ltd untuk membangunkan paparan e-paper yang hadir dengan saiz paparan 31.2 inci.

Kedua-dua syarikat ini menggabungkan kepakaran mereka dalam membangunkan teknologi paparan, pemprosesan imej, teknologi FPGA (field-programmable gate array) untuk menghasilkan sebuah paparan gergasi yang bukan sahaja boleh memperlihatkan imej, tetapi memaparkan video pada kadar segar semula 18FPS.

Perkara ini boleh dilihat sebagai sesuatu yang hebat kerana paparan jenis e-paper/e-ink ini secara lazimnya hadir dengan nilai kadar segar semula sangat rendah yang tidak sesuai untuk memaparkan video.

Dengan paparan e-paper 31.2 inci ini, ia dilaporkan bahawa kedua-dua syarikat ini telah mengoptimasikan panel paparan tersebut, disamping menggunakan algoritma tertentu untuk memperlihatkan paparan yang lebih cerah dengan olahan warna yang lebih terang. Kebolehan untuk menyegarkan bahagian-bahagian tertentu pada paparan ini juga membantu dalam kecekapan prestasi paparan ini.

Ia juga dilaporkan bahawa paparan skrin e-paper ini sudahpun mula dikeluarkan secara besar-besaran, dan akan diperkenalkan untuk pelbagai kegunaan seperti paparan digital untuk pusat membeli-belah, perhentian bas, paparan untuk maklumat awam dan sebagainya.

Komen