Penganalisa Bank of America kini membuat ramalan awal, mengatakan robot berbentuk manusia akan mencapai sekitar 3 bilion unit menjelang tahun 2060 kelak. Ia dikatakan 65% daripadanya akan digunakan untuk tujuan dalam rumah, 32% dalam perkhidmatan, dan 3% untuk penggunaan industri.
Selari dengannya, pembangunan robot dijangka akan menjadi lebih pantas bermula pada tahun ini. Beberapa syarikat sedia menyatakan hasrat penawaran robot mereka pada tahun ini, terutamanya dari China yang sedia menerajui dalam arena ini.

Disamping itu, jenama barat seperti Tesla dan NVIDIA juga turut melakukan pelaburan dalam arena robotik ini, dan menyasarkan penawaran masing-masing dalam masa terdekat. Untuk peringkat awal, menjelang 2030 kelak, jualan robot berbentuk manusia ini dijangka mencapai sekitar 1 juta unit setiap tahun, sebelum berkembang lebih pantas selepas itu.
Kos untuk robot juga dijangka akan menurun dari tahun ke tahun, selari peningkatan pengeluarannya. China yang sedia menerajui dalam arena kenderaan elektrik dijangka akan turut melakukan pelaburan tinggi untuk turut menguasai arena robotik ini.