Presiden Donald Trump mengenakan tarif baharu ke atas semua produk keluaran Malaysia yang dieksport ke Amerika Syarikat bermula 5 April depan. Pengumuman dilakukan semalam ketika acara “Hari Pembebasan” kerana Trump mendakwa Malaysia ialah antara 60 negara pesalah terbesar mengenakan pelbagai halangan dan tarif yang didakwa tidak adil ke atas Amerika Syarikat.
Malaysia mengenakan tarif sehingga 47% ke atas produk Amerika Syarikat yang dibawa masuk ke dalam negara. Tarif pukul rata timbal balik 24% yang dikenakan menurut Trump adalah kerana kerana Amerika Syarikat masih mempunyai ihsan ke atas rakan dagang mereka. Malaysia dikenakan kadar tarif ke-40 tertinggi oleh Amerika Syarikat selepas pengumuman ini. Jepun dan Brunei ialah dua lagi negara yang turut dikenakan tarif 24%.

Tarif yang dikenakan ke atas Malaysia adalah masih lebih rendah jika dibandingkan dengan negara-negara jiran Kemboja (49%), Laos (48%), Vietnam (46%), Myanmar (44%), Thailand (36%), Indonesia (32%) dan Brunei (24%). Hanya Singapura (10%), Timor-Leste(10%) dan Filipina (17%) dikenakan tarif lebih rendah berbanding Malaysia di Asia Tenggara.
Sejak dilantik menjadi Presiden pada 20 Januari lalu, Trump memperkenalkan pelbagai tarif sebagai membalas ketidakseimbangan perdagangan antara Amerika Syarikat dan negara lain dunia. Ia juga adalah tekanan ke atas syarikat luar untuk membuka semula pengilangan di dalam negara. Kanada dan Mexico menjadi dua mangsa terawal tetapi bermula hari ini semua rakan dagangan Amerika Syarikat dikenakan sekurang-kurangnya tarif 10%.
Menurut data yang dikongsi oleh Jabatan Negeri Amerika Syarikat, pada tahun 2023 nilai perdagangan antara Malaysia dan Amerika Syarikat mencecah $65.55 bilion. Negara kita mengeksport peralatan elektrik, peralatan elektronik, produk getah, produk logam, mesin dan peralatan serta alat ganti saintifik. Antara produk yang dikeluarkan di Malaysia ia cip semikonduktor, mac Mini, produk Dyson dan konsol PlayDate.
Malaysia ialah rakan dagang ke-19 terbesar dengan Amerika Syarikat sementara Amerika Syarikat pula ialah rakan dagang Malaysia yang ketiga terbesar selepas China dan Singapura. Amerika Syarikat telah melakukan perdagangan dengan Malaya sejak kurun ke-19 lagi.