Amazon akan melancarkan 27 satelit pertama rangkaian Project Kuiper mereka pada 9 April depan. Kuiper akan menawarkan perkhidmatan internet menggunakan satelit mereka sebagai pesaing Starlink. Seperti kami laporkan dua tahun lalu, dua satelit ujian Kuipersat-1 dan Kuipersat-2 telah dilancarkan dan diuji dengan jayanya.

Seperti dua satelit pertama, 27 satelit ini akan dilancarkan menggunakan roket Atlas V yang dibangunkan oleh United Launch Alliance (ULA). Ia akan mengorbit bumi dari ketinggian 450 kilometer. Apabila beroperasi kelak, Kuiper akan mempunyai rangkaian 3,200 satelit. Sebanyak 80 pelancaran sudahpun dirancang menggunakan roket Arianespace, Blue Origin, dan SpaceX.
Walaupun Jeff Bezos adalah pemilik syarikat angkasa lepas Blue Origin, roket mereka hanya boleh menghantar pelancong ke angkasa lepas sahaja ketika ini tanpa kemampuan membawa kargo. Sungguhpun bertelingkah dengan Elon Musk, Kuiper tidak mempunyai masalah menggunakan roket keluaran SpaceX.