Minggu ini adalah minggu terakhir untuk TikTok terus beroperasi di Amerika Syarikat, sekiranya perkhidmatan tersebut tidak dijual kepada syarikat tempatan di Amerika. Pihak ByteDance tidak mengeluarkan sebarang kenyataan buat masa ini, dan pelbagai syarikat berpusat di Amerika sedia melakukan bidaan untuk mendapatkannya.
Terbaru, menurut laporan The Information, Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump akan mengumumkan perancangan beliau untuk “TikTok Amerika”. Melaluinya, sebuah syarikat baharu akan dibentuk, dengan pegangan sebanyak 50% oleh pelabur Amerika.
19.9 lagi pegangan dijangka diberikan kepada ByteDance, dengan bakinya kepada pelabur sedia ada ByteDance. Pada masa yang sama, ia turut dicadangkan untuk TikTok Amerika ini melesenkan algoritma daripada pihak ByteDance.
Buat masa ini, ia tidak diketahui sama ada pihak China akan bersetuju dengan perkara ini, apatah lagi dengan tarif baharu yang diumumkan Donald Trump pada hari ini. Dengan perkembangan ini, sama-sama kita nantikan apakah seterusnya untuk TikTok di Amerika Syarikat, sama ada akan terus beroperasi atau ditamatkan sebegitu sahaja.