Semalam, Nintendo telah mengumumkan butiran penuh mengenai konsol terbaru mereka, Nintendo Switch 2. Ia dilihat hadir dengan skrin bersama resolusi yang lebih besar, rekaan baru dan juga alat kawalan Joycon dan rangka pengecasan yang dinaiktaraf dengan ciri-ciri baru.

Pastinya ramai peminat-peminat Nintendo di Malaysia yang tertanya-tanya tentang jika Nintendo akan memperkenalkan konsol tersebut secara rasmi di sini. Jawapannya, ya, Nintendo akan membawa masuk konsol tersebut secara rasmi (kebarangkalian tinggi bersama pengedar rasmi mereka) sekitar bulan Julai ke September 2025 ini.
Tanda harga untuk pasaran Amerika Syarikat nampaknya ditetapkan pada $449.99 (~RM2000), tetapi buat masa ini, harga untuk pasaran tempatan tidak diketahui lagi, tetapi dijangka adalah sedikit lebih mahal dari itu.

Selain daripada penjualan konsol di pasaran ini, Nintendo juga telah mengumumkan kehadiran perkhidmatan atas talian seperti Nintendo Switch Online dan Nintendo eShop untuk pasaran tempatan juga. Pasaran-pasaran Asia Tenggara lain yang turut akan menerima perkhidmatan ini termasuklah Singapura, Thailand dan Filipina.
Sama-sama kita tunggu pengumuman lanjut daripada Nintendo mengenai kehadiran konsol terbaru mereka di pasaran ini.