Pada tahun ini, salah satu perkara yang menjadi fokus utama dalam pembangunan kecerdasan buatan adalah sokongan ejen AI. Melaluinya, ia boleh diprogramkan untuk melakukan sejumlah tugasan khusus, dan akan melaksanakannya dengan baik.
Selari dengannya juga, kini Amazon memperkenalkan Amazon Nova Act, iaitu sebuah ejen AI yang dilatih untuk melaksanakan sejumlah tugasan, terus melalui pelayar web. Dengan penawaran ini, seseorang pembangun boleh menggunakannya dalam program akan ia untuk melakukan sejumlah tugasan khusus.
Sebagai contoh, ia boleh diarahkan untuk melakukan carian tempat tinggal ketika bercuti, dan memilih berdasarkan kepada harga, jarak dan aturcara kita di lokasi berkenaan.
Amazon buat masa ini menawarkan SDK untuk para pembangun, membolehkan ejen dibangunkan untuk melaksanakan tugasan dalam pelayar web, sekaligus memudahkan lagi urusan dan produktiviti harian.
Amazon turut mengatakan mereka berharap agar ejen ini boleh melaksanakan tugasan yang lebih kompleks, dan multi-tahap bergerak ke hadapan. Ini termasuk seperti menguruskan acara perkahwinan sepenuhnya, meningkatkan produktiviti perniagaan, dan lain-lain.
Dengan penawaran SDK untuk pembangun, sama-sama kita nantikan pelbagai inovasi yang akan dibangunkan dan ditawarkan kepada pengugna dalam masa terdekat ini. Sekiranya anda seorang pembangun, boleh menyemak Amazon Nova dilaman rasmi hari ini.