Lenovo Mengesahkan Ketibaan Legion Tower Yang Menggabungkan CPU Komputer Riba Dan Kad Grafik Desktop
Nazrin
Lenovo merupakan salah sebuah syarikat komputer yang kadang-kala hadir dengan rekaan-rekaan yang cukup menarik sekali. Sebelum ini, mereka telah memperkenalkan rekaan komputer desktop yang dikuasakan menggunakan komponen komputer riba dalam sebuah konsep yang dipanggil Mobile on Desktop (MoDT) yang dilihat memberi nafas baru kepada komponen-komponen komputer riba yang kini boleh dimanfaatkan dalam rekabentuk unik.

Terkini, Lenovo nampaknya telah mengacahkan ketibaan desktop MoDT terbaru mereka yang dinamakan Lenovo Legion Tower 5i Gen 10, yang tampil menggunakan cip pemprosesan Intel Arrow Lake HX yang secara lazimnya diperlihatkan pada komputer-komputer riba kelas gaming premium.

Apa yang menarik mengenai desktop ini ialah ia dipadankan bersama-sama dengan kad grafik kelas desktop, khususnya, tiga model kad grafik terbaru daripada NVIDIA, termasuklah NVIDIA GeForce RTX 5070 Ti, NVIDIA GeForce RTX 5060 Ti dan NVIDIA GeForce RTX 5060. Model-model kad grafik RTX 5060 belum dilancarkan lagi buat masa ini.

Butiran mengenai penawaran storan dan memori memperlihatkan bahawa Legion Tower 5i Gen 10 ini mampu menyokong sehingga 128GB memori DDR5 dan juga jumlah storan sebesar 4TB.
Buat masa ini ia tidak diketahui lagi bilakah Lenovo akan melancarkan desktop Legion Tower 5i ini secara rasmi, khususnya kerana kad-kad grafik NVIDIA GeForce RTX 5060/5060Ti masih belum dilancarkan lagi. Tetapi dengan pengenalannya diijangka akan dilakukan pada bulan ini, ia tidak mengejutkan sekiranya Lenovo akan memperlihatkan butiran lebih lanjut mengenai komputer desktop ini tidak lama lagi.
[sumber]Lenovo[/sumber]