Hari ini tepat 50 tahun Microsoft ditubuhkan oleh Bill Gates dan Paul Allen. Ia semuanya bermula dengan kedua-duanya membangunkan perisian pengaturcaraan BASIC untuk mikrokomputer Altair 8800. Syarikat ditubuhkan di Albuquerque, New Mexico dengan nama Microsoft diambil daripada singkatan micro-computer software.

Syarikat yang kini berpangkalan di Redmond Washington mula menjadi kuasa besar dunia perkomputeran dengan pengenalan sistem operasi Windows 1.0 pada tahun 1985 dan kini dianggarkan terdapat 1.5 bilion komputer di dunia menggunakan pelbagai versi sistem operasi ini.

Bagi menyambut ulang tahun ke separuh abad, Microsoft menawarkan pelbagai tema, gambar latar belakang, lencana dan produk edisi khas. Bagi peminat permainan video, Solitaire ulang tahun ke-50 kini boleh dimuat turun. Pemilik Xbox pula boleh memuat turun tema dinamik untuk konsol memaparkan watak ikonik siri Halo, Call of Duty, Diablo, Fallout dan banyak lagi. Microsoft juga berkongsi temu bual yang dilakukan oleh Copilot dengan Bill Gates, Steve Ballmer dan Satya Nadella.
Latar belakang edisi ulang tahun juga ditawarkan dalam Teams, Microsoft Edge, Clipchamp dan juga komputer Windows. Akhir sekali pelbagai barangan seperti beg, baju sejuk, kemeja T, pin dan lencana juga boleh dibeli menerusi laman web Microsoft