Carian
Ulasan Vivo Y29 4G – Sederhana Tetapi Praktikal
April 7, 2025 Amy Maizuraa

Vivo Y29 4G menawarkan ciri-ciri yang sederhana tetapi praktikal menjadikannya pilihan sesuai untuk pengguna yang mencari peranti pintar mampu milik. Dengan bateri 6,500mAh dan pengecasan 44W, ia memberikan prestasi tahan lama. Reka bentuk vivo Y29 yang menarik meningkatkan daya tarikannya, sementara kamera 50MP memberikan kualiti gambar sesuai untuk keperluan asas pengguna. Adakah ia mampu memenuhi keperluan pengguna hari ini? Ketahui dengan lebih lanjut dalam artikel ulasan ini.


Spesifikasi Dan Penggunaan

vivo Y29 4G
SkrinIPS LCD 120Hz, 1000 nits
6.68-inci HD+ (~264 ppi density)
PemprosesSnapdragon 685 (6 nm)
Cip4x 2.8 GHz Cortex-A73
4x 1.9 GHz Cortex-A53
Cip GrafikAdreno 610
RAM8GB RAM
Muatan Dalaman156GB ROM
eMMC 5.1
Kamera Utama50 MP, f/1.8 (lebar), PDAF
2 MP, f/2.4 (kedalaman)
1080p@30fps
Kamera Depan8 MP, f/2.0, (lebar)
1080p@30fps
Bateri6500 mAh
Pengecasan Pantas 44W
SIM/TelefoniDwi SIM Nano
NFCYa
Infra MerahTiada
Kalis AirTiada
Sistem ImbasanImbasan cap jari
Imbasan wajah
Harga JualanRM799 (6/128GB)

Peranti ini nampak menarik terutamanya pada panel belakangnya yang kelihatan seperti marble glass. Reka bentuknya juga menyerlahkan gaya mewah dan elegan yang sepadan dengan kelasnya. Ia juga disediakan dalam pilihan warna White dan Brown untuk melengkapkan gaya. Meskipun begitu, kemasan berkilat pada panel ini mudah memerangkap kesan cap jari menjadikannya agak sukar untuk sentiasa kelihatan bersih.

Jenis binaan panel belakang ini masih belum dapat dipastikan, sama ada diperbuat daripada kaca atau plastik. Namun, besar kemungkinan ia diperbuat daripada polikarbonat. Hal ini kerana ia merupakan bahan yang sering digunakan oleh pengeluar untuk peranti dalam segmen mampu milik seperti ini.

Bingkai peranti ini juga berkilat dan mudah kelihatan comot atau tercalar akibat penggunaan harian. Bonggol kamera yang agak tinggi pula menjadikan peranti ini kurang stabil apabila diletakkan di atas permukaan rata, kadangkala menyebabkan ia terangkat di satu bahagian seperti jongkang-jongket.

Ciri Dynamic Light di bahagian belakang menyerupai reka bentuk Vivo V50. Walaupun ringkas, ia dilihat menambah tarikan pada rekaan peranti. Ia berguna untuk notifikasi panggilan masuk atau mencipta kesan lampu semasa memainkan audio muzik. Peranti ini juga nipis yang menjadikannya selesa untuk dipegang serta mudah digunakan sepanjang hari tanpa sebarang masalah.

Sisi kanan peranti ini menempatkan butang kuasa dan butang laras audio, manakala sisi kiri dibiarkan kosong tanpa sebarang port atau butang. Bahagian atas peranti juga tidak mempunyai ciri tambahan sementara itu bahagian bawah menempatkan port USB-C dan kekisi pembesar suara mono untuk fungsi audio. Dari segi audio, pembesar suara mono yang disediakan menawarkan kualiti bunyi yang sederhana tetapi tetap mencukupi untuk kegunaan harian.

Sistem imbasan cap jari pada butang kuasa berfungsi dengan baik, mencerminkan kepakaran vivo dalam teknologi ini. Namun, peranti ini mungkin kurang sesuai untuk kegunaan jangka panjang kerana hanya menyokong cip 4G dan bukannya 5G. Kekurangan ini boleh menjadi isu bagi pengguna yang mencari peranti untuk penggunaan lebih lama. Saya akan menerangkan jenis cip yang digunakan dalam bahagian perkakasan dan perisian.

Bergerak ke skrin hadapan, peranti ini menggunakan panel LCD bersaiz 6.88 inci, yang cukup besar untuk tontonan kandungan video atau cerita kegemaran. Skrin ini berfungsi dengan baik di bawah cahaya matahari, sementara kadar segar semula 120Hz memberikan pengalaman tatalan yang lancar dan responsif.

Namun, resolusi skrin HD+ sedikit menjejaskan ketajaman paparan, yang mungkin kurang memuaskan bagi pengguna yang mementingkan visual yang lebih tajam. Terdapat juga isu screen bleeding, tetapi ia tidak terlalu mengganggu pengalaman penggunaan. Secara keseluruhan, skrin ini memadai untuk kegunaan harian, walaupun ia mungkin bukan pilihan utama bagi pengguna yang mengutamakan paparan berkualiti tinggi.


Perisian Dan Perkakasan

Peranti ini dikuasakan oleh cip Snapdragon 685, yang hanya menyokong sambungan LTE. Ini tidak mengejutkan kerana cip ini dikeluarkan pada Januari 2023. Meskipun begitu, ia tetap mampu memenuhi keperluan asas kebanyakan pengguna harian. Dengan gabungan memori 8GB RAM dan storan dalaman 256GB, ia menyediakan kapasiti yang mencukupi untuk menyimpan aplikasi serta data harian dengan lancar tanpa sebarang masalah.

Prestasi peranti dalam tugas harian seperti melayari web adalah memuaskan. Namun apabila digunakan untuk permainan mudah alih, prestasinya didapati kurang konsisten. Kadangkala terdapat lengah masa yang ketara, terutamanya semasa bermain pada tetapan grafik tinggi, seperti dalam permainan MLBB.

Selain itu, peranti ini tidak mampu mengekalkan kadar bingkai yang stabil secara berterusan. Walaupun begitu, suhu peranti semasa bermain kekal pada tahap yang selesa, dengan hanya sedikit kehangatan, menjadikannya masih sesuai untuk sesi permainan yang panjang.

Peranti juga menggunakan sistem operasi Funtouch OS 15 berasaskan Android 15. Ia memadai untuk tugasan harian tetapi pengalaman keseluruhan mungkin kurang memuaskan bagi sesetengah pengguna. Pilihan tetapan perisian agak terhad kerana hanya menawarkan penggunaan widget yang asas.

Tambahan pula, terdapat aplikasi gendut (bloatware) telah dipasang lebih awal, yang mungkin kurang digemari oleh pengguna yang mengutamakan pengalaman perisian tanpa gangguan. Secara keseluruhan, Funtouch OS 15 memadai untuk kegunaan asas namun ia mungkin tidak memenuhi jangkaan pengguna yang mencari lebih banyak kebebasan dalam menyesuaikan perisian.


Kamera Dan Kualiti Gambar

Vivo Y29 dilengkapi dengan sistem dwi-kamera utama yang terdiri daripada sensor 50MP dan sensor kedalaman 2MP. Kamera ini cukup praktikal untuk kegunaan harian, dengan antara muka mesra pengguna yang menyediakan akses mudah kepada ciri-ciri utama. Pilihan tetapan juga senang diubah, konsisten dengan pendekatan peranti Vivo yang lain.

Selain itu, ia turut menawarkan ciri pengimejan berkuasa AI seperti AI Photo Enhance yang membolehkan peningkatan kejelasan wajah serta membetulkan butiran dalam gambar. Sementara itu, AI Erase memudahkan penghapusan elemen yang tidak diingini dalam gambar.

Terdapat juga live photo yang membolehkan tangkapan gambar sebelum dan selepas diambil. Manakala, ciri dual view membolehkan rakaman serentak dengan kamera depan dan belakang, memberikan sudut pandangan kreatif yang ideal untuk vlog atau kandungan media sosial.

Namun, tanpa ciri seperti OIS atau fungsi fotografi tambahan, kemampuan kamera mungkin terhad dalam keadaan pencahayaan rendah atau situasi yang memerlukan tahap kestabilan yang tinggi. Kamera hadapan pula dilengkapi dengan sensor 8MP, yang memadai untuk kegunaan asas seperti swafoto dan panggilan video. Secara keseluruhannya, kamera ini sesuai untuk pengguna yang hanya memerlukan keupayaan asas dengan tetapan yang ringkas.

Dari segi kualiti, gambar pada waktu siang sering menunjukkan warna yang agak tepu, tetapi butiran kadangkala kurang tajam. Pada waktu malam, kelemahan kamera menjadi lebih jelas dengan kesan hingar yang ketara, menghasilkan gambar yang menyerupai lukisan cat air. Secara keseluruhannya, kamera ini lebih sesuai untuk kegunaan asas, terutamanya dalam keadaan pencahayaan yang mencukupi bagi mendapatkan hasil yang lebih baik.

Sensor kedalaman 2MP pada peranti ini tidak memberikan banyak kelebihan, dengan hasil yang agak sederhana. Fungsinya terhad kepada mencipta kesan bokeh dalam mod potret. Bagi pengguna yang mencari kualiti gambar lebih tinggi, sensor ini mungkin tidak memenuhi jangkaan.

Kamera peranti yang tidak menyokong fungsi ultra lebar turut menjadikannya kurang sesuai untuk gambar bersudut luas. Kekurangan ini agak ketara memandangkan fungsi ultra lebar lebih praktikal dan berguna berbanding sensor kedalaman.


Bateri Dan Pengecasan

Vivo Y29 dilengkapi dengan bateri besar 6500mAh yang menawarkan ketahanan yang baik dalam kelasnya. Berdasarkan pengalaman, bateri ini mampu bertahan hingga dua hari dengan penggunaan biasa. Ia amat sesuai untuk mereka yang mahukan bateri tahan lama tanpa perlu kerap mengecas.

Dengan sokongan pengecasan pantas 44W, bateri ini hanya memerlukan sekitar 1 jam 15 minit untuk pengecasan penuh. Kapasiti besar ini menjadikan peranti lebih praktikal kerana pengguna tidak perlu mengecasnya dengan kerap. Secara keseluruhan, prestasi bateri adalah salah satu ciri utama yang menjadikan peranti ini menarik di pasaran masa kini.


Pesaing

Vivo Y29Poco M7 Pro Realme C75x
IPS LCD 120Hz, 1000 nits
6.68-inci HD+ (~264 ppi)
AMOLED 120Hz, Dolby Vision, HDR10+, 2100 nits
6.67-inci FHD+ (~395 ppi)
IPS LCD, 120Hz, 500 nits (typ)
6.67-inci HD+ (~264 ppi)
Snapdragon 685 (6 nm)
1×2.63 GHz Cortex-A715
4 x 2.8 GHz Cortex-A73
4 x 1.9 GHz Cortex-A53
Dimensity 7025 Ultra (6 nm)
2 x 2.5 GHz Cortex-A78
6 x 2.0 GHz Cortex-A55
Helio G81 Ultra (12 nm)
2 x 2.0 GHz Cortex-A75
6 x 1.8 GHz Cortex-A55
Adreno 610IMG BXM-8-256Mali-G52 MC2
6GB RAM6GB RAM8GB RAM
128GB ROM128GB ROM128GB
Kamera Utama
50 MP, f/1.8 (lebar), PDAF
2 MP, f/2.4 (kedalaman)
1080p@30fps
Kamera Utama
50 MP, f/1.5 (lebar), OIS
2 MP, f/2.4 (kedalaman)
1080p@30fps
Kamera Utama
50 MP, f/1.8, (lebar)
1080p@30fps
Kamera Hadapan
8 MP, f/2.0, (lebar)
1080p@30fps
Kamera Hadapan
20 MP, f/2.5, (lebar)
1080p@30fps
Kamera Hadapan
5 MP, f/2.2, (lebar)
1080p@30fps
Tiada kalis air Tiada kalis air Tiada kalis air
Tiada bicu audioTiada bicu audioTiada bicu audio
Audio MonoAudio StereoAudioMono
6500 mAh
Berwayar 44W
5110 mAh
Berwayar 45W
5600 mAh
Berwayar 45W
RM799 (6/128GB)RM999 (8/256GB)
RM1099 (12/256GB)
RM599 (8/128GB)

Apa Di Dalam Kotak

Berikut ialah yang disertakan dalam kotak yang kami terima :

  • 1 x Vivo Y29.
  • 1 x Kepala Pengecas 44W.
  • 1 x Kabel USB-A ke USB-C.
  • 1 x Kerangka Silikon.
  • 1 x Manual.
  • 1 x Pin SIM.

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, peranti ini menawarkan reka bentuk yang menarik, kadar segar semula skrin yang tinggi, serta bateri tahan lama sebagai kelebihan utama. Namun, ia mempunyai beberapa kekurangan, seperti resolusi skrin yang rendah, prestasi kamera yang sederhana, dan ketiadaan sokongan 5G. Peranti ini lebih sesuai untuk pengguna yang mengutamakan pengalaman penggunaan asas dengan bateri tahan lama, tetapi mungkin kurang sesuai bagi mereka yang mengutamakan prestasi tinggi dan ciri premium. Secara keseluruhan, ia tetap merupakan pilihan yang seimbang dalam kategori peranti pertengahan.

Pro:

  • Panel belakang bergaya Marble Glass
  • Kadar segar semula tinggi
  • Bateri tahan lama.
  • Sistem pengecasan pantas.
  • Ciri Dynamic Light.

Kontra

  • Resolusi skrin HD+
  • Prestasi kamera sederhana
  • Sensor kedalaman hanya gimik.
  • Hanya menyokong sambungan LTE.
  • Permukaan berkilat mudah comot dan calar.

*Peranti ini telah diuji oleh pelajar praktikal Amanz, iaitu Amzari. Kemudian, teks penuh mengenainya ditulis dan dikemas kini oleh Amy Maizuraa.

Komen