Carian
Grab Memperkenalkan Sejumlah Ciri Baru Untuk Menempah Kenderaan Seru-pandu Dengan Lebih Mudah Dan Selamat
April 8, 2025 Nazrin

Di acara GrabX yang berlangsung di Singapura hari ini, Grab, syarikat teknologi terkemuka di Asia Tenggara telah memperkenalkan sejumlah ciri-ciri baru yang memudahkan pengguna untuk menempah kenderaan seru-pandu secara lebih mudah dan selamat.

Pertama ialah ciri Grab For Family|Teens yang membolehkan remaja dan kanak-kanak untuk menaiki kenderaan Grab secara lebih selamat, khususnya apabila melakukannya secara sendiri atau keseorangan. Grab sudahpun mempunyai fungsi Grab Family yang membolehkan akaun-akaun yang disambungkan sebagai ahli keluarga untuk melihat lokasi mereka apabila menggunakan perkhidmatan seru-pandu.

Kemaskini terbaru ini akan memperkenalkan akaun Teenager atau remaja untuk membolehkan ibu-bapa untuk melakukan perkara yang sama, tetapi untuk kanak-kanak remaja mereka yang berumur dibawah 18 tahun yang akan diletakkan secara terus didalam fungsi Grab Family untuk pemantauan yang lebih mudah.

Dengan pengenalan akaun ini, remaja yang menempah kenderaan seru-pandu Grab akan ditugaskan kepada pemandu dengan penilaian tinggi dan disahkan selamat, pengesahan angka pin untuk memastikan bahawa mereka menaiki kenderaan Grab yang betul dan juga ciri AudioProtect yang akan merakam audio pada perjalanan tersebut secara langsung, dan Grab boleh campur tangan dengan cepat sekiranya ada apa-apa berlaku.

Ciri AudioProtect menggunakan teknologi AI untuk merakam dan memahami audio untuk menentukan sekiranya penumpang sedang berada dalam bahaya atau tidak. Grab kemudiannya boleh membuat panggilan kepada pihak berkuasa untuk memastikan bahawa penumpang tersebut selamat.

Sambungan kepada akaun Grab Family juga membolehkan ibu-bapa untuk meneliti butiran perjalanan seperti perubahan hala tuju secara langsung dan hentian ataupun pembatalan perjalanan yang tidak disahkan oleh pemandu.

Kemaskini Grab For Family|Teen ini akan diperkenalkan di pasaran-pasaran Asia Tenggara pada bulan Mei 2025 ini.

Komen