Carian
Apple Akan Mengimport Lebih Banyak Peranti Dari India Bagi Mengelak Tarif Trump
April 8, 2025 Effi Saharudin

Menerusi tarif Trump, harga barangan yang diimport dari China ke Amerika Syarikat akan dikenakan berkurang-kurangnya 34% tarif. Akibatnya saham syarikat seperti Apple yang mengeluarkan peranti mereka di China terjejas teruk sejak tarif diumumkan. Menurut laporan Wall Street Journal, disebabkan Trump tidak bercadang menarik semula tarif dalam masa terdekat Apple sudah memulakan perancangan mengimport lebih banyak peranti dari India untuk pasaran Amerika Syarikat.

India hanya dikenakan tarif 26% yang juga lebih rendah berbanding Vietnam yang dikenakan tarif 46%. Kedua-dua negara menjadi negara pilihan Apple untuk mengeluarkan peranti di luar China berikutan isu pengilangan yang berlalu semasa pandemik lima tahun lalu.

Dalam laporan berasingan Times of India, Apple menerbangkan lima pesawat penuh produk mereka dari India ke Amerika Syarikat pada penghujung Mac bagi mengelakkan tarif baharu yang dikenakan. Di Amerika Syarikat pula, penjualan produk menerusi Apple Store meningkat mendadak sejak penghujung minggu lalu kerana orang ramai cuba mendapatkan produk pada harga lama sebelum terpaksa dinaikkan selepas tarif dikenakan.

Komen