Vivo sebelum ini ada mengumumkan pelancaran produk terbarunya termasuk X200 Ultra pada April. Kini, tarikh pelancaran rasmi telah disahkan berlangsung pada 21 April 2025 di mana peranti mercu ini akan dijual di China seperti sebelum ini. Pelancaran ini turut menyediakan beberapa lagi peranti lain seperti Vivo X200s, Vivo Watch 5 Pro, dan Vivo Pad SE.

Tumpuan utama sudah pasti terarah pada model Ultra yang baru-baru ini muncul dalam sebuah video tertiris. Bonggol kamera peranti kelihatan besar dan jauh lebih menonjol berbanding rekaan yang digunakan pada model X200s. Peranti turut akan menawarkan dua sensor bersaiz /1.28-inci untuk kamera utama dan ultra lebar, bersama sensor telefoto yang peka terhadap cahaya untuk imej lebih baik.

Vivo sebelum ini turut menekankan beberapa kelebihan bonggol kamera yang besar, di mana boleh memberi ruang yang selesa untuk meletakkan jari sewaktu peranti dipegang. Selain itu, peranti turut akan dilengkapi dengan butang fizikal khas untuk kamera. Fungsi butang ini dijangka menyerupai Camera Control pada beberapa peranti iPhone baharu yang boleh digunakan untuk mengaktifkan kamera.