Tandas Ini Mengurangkan Percikan Air Kencing Sehingga 95%
Effi Saharudin
Jika anda ke tandas awam hari ini, saya yakin anda dapat melihat tompokan air kencing berhampiran lantai urinal lelaki. Ia bukan sahaja menjijikkan tetapi menyebabkan bau hanyir serta menambah kerja petugas tandas. Masalah ini sudah wujud sejak urinal dipercayai dicipta pada abad ke-9 Masihi. Sekumpulan saintis telahpun menggunakan kepakaran matematik dan fizik mereka untuk menghasilkan rekaan urinal yang dapat mengelakkan percikan air kencing.

Menggunakan data saintifik, urinal yang diberi nama Cornucopia dan Nautilus telah dihasilkan. Cornucopia ialah jenis yang disambung ke dinding manakala Nautilus pula boleh dipasang terus ke permukaan lantai. Hasil perkiraan dan juga ujian mendapati percikan air kencing dapat dikurangkan antara 85-95% jika ia jatuh pada permukaan dengan sudut kurang daripada 30 darjah.
Saintis menyarankan urinal Nautilus digunakan kerana ia boleh digunakan juga oleh kanak-kanak dan golongan OKU. Tambah mereka lagi jika kesemua urinal di Amerika Syarikat digantikan dengan rekaan mereka, ia dapat mengelakkan 1 juta liter air kencing tertumpah ke lantai tandas setiap hari.
Kertas kajian menghasilkan rekaan urinal ini telah diterbitkan di jurnal PNAS Nexus.