Samsung SmartThings Kini Menyokong Integrasi Samsung Health dan Matter 1.4
Effi Saharudin
Samsung SmartThings telah dikemaskini dengan ia membawakan integrasi Samsung Health dan Matter 1.4. Menerusi sokongan Samsung Health, peranti berhubung (IoT) seperti televisyen, lampu dan penyaman udara akan dimatikan secara automatik jika mengesan pengguna tertidur menerusi sensor Galaxy Watch atau Galaxy Ring.

Sokongan peranti berhubung juga membolehkan maklumat kualiti udara yang dikesan penapis udara serta suhu boleh dipaparkan terus pada Now Brief pada peranti Galaxy AI yang dimiliki pengguna. Pesanan suara juga boleh dihantar ke speaker pintar yang disambungkan kepada SmartThings. Sebagai contoh mesej daripada ibu bapa kepada anak di rumah boleh dihantar ke speaker tertentu.

Menerusi Matter 1.4 pula sokongan panel solar, bateri, pam haba dan pemanas air juga akhirnya ditambah ke dalam ekosistem SmartThings. Piawaian ini diumumkan November tahun lalu dan hanya sekarang disokong Samsung.