Carian
Honor Watch 5 Kini Ditawarkan Dalam Warna Hijau Dengan Harga RM649
April 10, 2025 Amy Maizuraa

Honor Watch 5 kini hadir dengan warna baharu iaitu hijau bagi menambah daya tarikan kepada pengguna yang ingin menyerlahkan gaya peribadi mereka. Meskipun warna baharu diperkenalkan, spesifikasi tetap kekal sama seperti sebelumnya. Reka bentuknya yang elegan, ciri pemantauan kesihatan, dan bateri tahan lama turut masih menjadi tumpuan utama bagi jam pintar ini.

Jam pintar ini menggunakan skrin AMOLED bersaiz 1.85-inci dengan resolusi 450 x 390 piksel dan kadar segar semula 60Hz. Pelbagai sensor kesihatan disediakan, termasuk pemantauan kadar degupan jantung, tahap oksigen dalam darah (SpO2), serta pola tidur pengguna.

GPS terbina memberikan penjejakan yang lebih tepat semasa aktiviti luar, dan tahap kalis air 5ATM/IP68 memastikan ia sesuai digunakan semasa aktiviti sukan air. Baterinya yang berkapasiti 480mAh mampu bertahan sehingga 15 hari dengan penggunaan biasa dan boleh dicas semula menggunakan dermaga magnetik khusus.

Honor Watch 5 baharu ini boleh didapati pada RM649 melalui pengedar sah Honor Malaysia. Manakala model sedia ada pula boleh didapati pada RM599 seutas.

Komen