Nissan, syarikat automotif terkemuka dari Jepun baru-baru ini telah mengumumkan kerjasama dengan syarikat pembangun teknologi pemanduan autonomi Wayve dari UK dimana Nissan akan menggunakan sistem swapandu tahap 2 pada kenderaan-kenderaan Nissan yang akan dilancarkan pada tahun 2027.
Sistem swapandu tahap 2 secara ringkasnya akan membenarkan kenderaan untuk mengawal kelajuan pemanduan kenderaan tanpa input daripada pemandu, dan boleh mengubah kelajuan bergantung kepada kenderaan ataupun halangan di hadapan, tetapi pemandu masih perlu bersedia untuk mengambil-alih untuk mengubah lorong, misalnya.

Keunikan sistem swapandu Wayve ialah ia menggunakan sistem yang boleh mempelajari jalan-jalan dan tidak memerlukan komponen sensor dan kamera yang secara lazimnya sangat mahal. Walaupun begitu, Nissan mengatakan bahawa mereka akan menggabungkan kamera, sensor radar LIDAR dan lain-lain bersama-sama dengan perisian swapandu Wayve.
Menurut Nissan, penggunaan sistem swapandu Wayve akan membolehkan mereka mengurangkan kos pembangunan teknologi swapandu mereka sendiri, dan ini akan membolehkan Nissan untuk mengeluarkan kenderaan-kenderaan dengan harga mampu-milik.