Apabila bercakap mengenai komputer riba, pastinya kita tahu akan adanya komputer riba berprestasi tinggi yang hadir dengan spesifikasi tinggi, binaan kukuh, bahan material premium yang meletakkan komputer riba sebegini berada di satu tahap yang lain berbanding model kebiasaan. Didalam barisan komputer Lenovo, ThinkPad tergolong dalam siri mercu yang sarat dengan inovasi dan kecanggihan sinonim dengan fungsi dan tugasnya sebagai komputer riba untuk golongan professional.

Siri ThinkPad merupakan siri komputer riba berprestasi tinggi yang asalnya dimiliki oleh IBM, sebelum dijual kepada Lenovo pada tahun 2005. Yamato Lab ditubuhkan pada tahun 1985 di Kanagawa, sebelum dipindahkan ke Yokohama pada tahun 2011. Sehingga kini ia masih beroperasi dan menjalankan pelbagai ujian untuk komputer riba. Kami berkesempatan untuk melihat sendiri beberapa ujian, dan juga makmal ujian yang baharu khusus dibangunkan bagi memastikan siri ThinkPad kekal memberikan prestasi terhebat.
Makmal Ujian DXOMark

Pembaca Amanz pastinya sentiasa mendengar berkenaan penarafan DXOMark. Terdapat pelbagai penarafan DXOMark dan yang popular diperkatakan adalah markah prestasi kamera telefon pintar yang menjadi aras perbandingan. Menariknya Lenovo turut menyatakan terdapatnya markah DXOMark untuk kamera web pada komputer riba.
Di makmak ini, pengkaji Yamato Lab menerangkan serba sedikit berkenaan protokol ujian DXOMark bagi memastikan kamera yang digunakan pada kompter riba mereka merakam wajah pengguna dengan kepersisan warna yang tepat serta kejituan pada perincian wajah pengguna. Terapat dua jenis patung yang disediakan, sengaja disediakan berbeza bagi membolehkan pengoptimasian pada perisian dilakukan.

Dalam ruang lain pengkaji Lenovo turut menunjukkan simulasi dan juga prestasi kamera mereka ketika digunakan untuk telesidang. Memandangkan ThinkPad dicipta untuk pengguna professional yang kerap melakukan telesidang, penghasilan warna rakaman kamera web sewaktu telesidang adalah penting, dan mereka juga turut mempunyai sistem pencahayaan yang dapat mencipta pelbagai situasi, walaupun situasi di luar pejabat.

Makmal Ujian Hentakan Dan Jatuhan ThinkPad
JIka anda lihat komputer ThinkPad, anda mungkin berasa rekaannya terlalu minimalis, nipis, namun tidak sedikitpun mengurangkan kekuatan dan kelasakan mereka. Didalam ujian hentakan ini, komputer riba ThinkPad akan diuji apabila digegarkan dan dihentak dalam beberapa situasi. Menariknya mereka turut berkongsi terdapatnya situasi apabila komputer riba ThinkPad diletakkan bersama-sama buku teks oleh pelajar. Ini bukan sahaja mendedahkan komputer riba kepada goncangan atau hentakan didalam beg, malah apabila dihimpit dengan buku teks yang tebal.

Menerusi ujian ini, mereka dapat melihat sebarang situasi yang mencabar ketahanan ThinkPad, dan mereka juga mendedahkan yang mana mereka turut melakukan ujian yang sama untuk produk pesaing, bagi mengenalpasti ketahanan peranti pesaing. Kebanyakan masa, peranti pesaing tidak dapat bertahan seperti lasaknya komputer riba ThinkPad.
Seterusnya mereka turut menunjukkan beberapa ujian jatuhan sekiranya ThinkPad jatuh ke permukaan dengan bucu yang jatuh dahulu, atau terdapat tekanan berpusat kepada komputer riba tersebut. Ujian sebegini dijalankan berterusan sehinggalah terdapat sebarang data yang menunjukkan sekiranya terdapat kekurangan pada binaan mereka. Malah dalam satu ujian, pekerja Lenovo agak yakin untuk memijak ThinkPad, dan tiada kerosakan pada paparan skrin yang terjadi.

Makmal Akustik
Seterusnya, kami juga dibawa ke makmal akustik dan mereka mempamerkan ciptaan pembesar suara terbaharu yang digunakan pada ThinkPad X9. Berbanding pembesar suara yang biasanya menggunakan skru untuk dipasangkan pada cesi komputer riba, pembesar suara baharu ini menggunakan teknologi yang dipanggil sebagai ‘Fiber Loop’, yang berfungsi hampir seperti pita ‘velcro’ digunakan untuk ‘melekatkan’ pembesar suara kepada cesi komputer riba ThinkPad X9. Meskipun binaan yang mungkin dirasakan tidak berat, ia masih mampu menghasilkan kualiti bunyi yang sangat baik.

Tukarganti Bateri ThinkPad Dengan Mudah Tanpa Kompromi Berkenaan Sekuriti
Dalam salah satu demonstrasi, pengkaji di Yamato Lab turut berkongsi mengenai perbezaan rekaan ThinkPad mereka yang turut menerapkan elemen mudahnya untuk menukarganti sesuatu komponen. Malah cara untuk membuka penutup ThinkPad juga begitu mudah, dan dapat dilakukan dengan pemacu skru yang biasa digunakan, dan bukannya dengan pemacu khas dengan mata skru yang susah diperoleh. Ini membolehkan pemilik ThinkPad mengganti komponen dengan mudah, seperti bateri atau ruangan storan, tanpa perlu menghantar ThinkPad untuk pembaikian.
Namun apabila penutup ThinkPad dapat dibuka dengan mudah, timbul isu sekuriti, sekiranya ia boleh dipasang dengan sebarang komponen yang berpotensi mensabotaj pengguna, atau sekiranya komponen dalaman boleh dicuri seperti pemacu storan. Pihak Lenovo turut mencipta sejenis suis yang boleh memberitahu pemilik sekiranya ThinkPad mereka telah dibuka tanpa izin, atau sekiranya terdapat sebarang percubaan untuk mensabotaj komputer riba mereka.

Muzium ThinkPad
Salah satu tarikan utama yang membuatkan saya teruja sepanjang lawatan ini adalah barisan produk ThinkPad yang dihasilkan sejak awal makmal ini ditubuhkan. Terdapat pelbagai jenis ThinkPad mengikut tahun dipamerkan, dan setiap darinya turut membawakan inovasi yang tersendiri. Malah konsep modular juga turut dicipta berpuluh tahun sebelum ini, dimana setiap komponen didalamnya boleh ditukarganti dengan sendiri oleh pengguna.
Terdapat juga beberapa ThinkPad lain yang mungkin dikirakan sedikit, janggal dan asing seperti ThinkPad yang turut mempunyai mesin pencetak, ThinkPad yang boleh digunakan dengan projektor lampu (Overhead Projector) yang biasa dilihat di makmal sekolah, ThinkPad ‘butterfly’ dengan papan kekunci terpisah seperti kepak rama-rama apabila ditutup bagi menjimatkan ruang, namun akan ‘terkeluar’ apabila ia dibuka bagi memberikan penggunaan papan kekunci bersaiz penuh, serta banyak lagi. Sayangnya saya difahamkan bahagian Muzium ThinkPad ini tidak dibuka kepada warga umum sewaktu artikel ini ditulis namun berharap ia dapat dibuka kepada orang ramai.

Berakhirnya lawatan saya ke Lenovo Yamato Lab ini memberikan sedikit sebanyak pendedahan mengenai kajian, ujian, serta inovasi yang dibawakan dalam siri ThinkPad, yang turut digunakan dan diadaptasi pada masa mendatang. Satu sahaja harapan saya adalah supaya sekurangnya Muzium ThinkPad ini dapat dibuka untuk orang awam, atau dibuka secara berkala bagi membolehkan generasi akan datang yang mungkin kelak akan hidup dengan komputer yang jauh lebih canggih, tahu akan asal-usul kecanggihan teknologi terdahulu.
