Siri dengan kecerdasan buatan (AI) Apple Intelligence sepatutnya dilancarkan bersama dengan iOS 18.4 selepas ia diperlihatkan sekitar setahun yang lalu. Tetapi pelbagai isu kualiti maklumat yang diberikan, kemampuan melakukan kesimpulan dan pembangunan yang tergendala menyebabkan tarikh pelancarannya ditangguh terus oleh Apple.
The New York Times melaporkan hari ini ciri yang sangat dinantikan ini mungkin hanya akan dilancarkan pada musim luruh iaitu sekitar September depan. Ini menepati ramalan beberapa penganalisa yang mengatakan Siri dengan Apple Intelligence akan dilancarkan serentak dengan iOS 19.

Kegagalan Apple menawarkan ciri yang diiklankan untuk siri iPhone 16 menyebabkan mereka berhadapan beberapa saman kumpul di Amerika Syarikat. Pembeli siri iPhone 16 mendakwa iklan Apple Intelligence yang diterbitkan adalah tidak tepat sehingga mereka terasa tertipu.
Apple ialah satu-satunya pengeluar yang masih tidak menawarkan ciri AI secara meluas. Di platform Android, semua pengeluar mempunyai ciri AI tersendiri yang membolehkan carian dilakukan lebih menyeluruh, suntingan gambar pantas, alih bahasa panggilan telefon masa nyata dan bantuan meringkaskan dokumen.
Sungguhpun begitu beberapa pungutan suara yang dilakukan dalam kalangan pemilik Apple, mereka tidak merasakan ia ciri yang diperlukan kerana melihat AI sebagai teknologi yang belum berguna.