Carian
Cermin Mata Pintar Pertama Apple Kini Menjadi Prioriti Utama Tim Cook
April 14, 2025 Effi Saharudin

Apakah produk yang paling penting bagi Apple? Jawapannya sebelum ini ialah iPhone kerana ia menjana pendapatan tertinggi syarikat sejak dilancarkan. Tetapi masa depan iPhone mungkin kini akan berakhir dengan jualan mula berkurangan tahun lalu selari dengan trend global yang turut dialami pengeluar lain. Menurut laporan Bloomberg, pembangunan cermin mata pintar pertama Apple kini menjadi prioriti utama Tim Cook.

Dalam laporan tersebut, jurutera Apple mengatakan Tim Cook ingin produk ini dihasilkan segera selepas melihat kejayaan Meta mendominasi pasaran menerusi Ray-Ban Meta. Cermin mata pintar Apple ini akan menggunakan teknologi Siri dab Visual Intelligence bagi menawarkan pengalaman penggunaan terbaik dalam kelasnya.

Meta Orion

Cermin mata pintar akan menjadi batu loncatan sebelum melancarkan cermin mata realiti terimbuh (AR) yang juga sedang dibangunkan Meta menerusi Orion. Terdapat ura-ura Orion akan dilancarkan tahun ini sebagai Meta Hypernova dengan skrin terbina terus pada lensa cermin mata. Sebelum boleh dilancarkan, teknologi bateri, kamera, cip, skrin resolusi tinggi dan integrasi aplikasi sedia ada perlu diperhalusi oleh Apple sebelum cermin mata AR dapat dihasilkan.

Tumpuan kepada cermin mata pintar ini boleh diramal kerana sambutan orang ramai kepada set kepala realiti bergabung (MR) sudah menjunam sejak dua tahun kebelakangan ini. Vision Pro yang diharapkan akan mengubah landskap set kepala juga hanya laku di peringkat awal. Dunia metamesta gagal menarik minat dengan kecerdasan buatan (AI) kini menjadi teknologi yang mendatangkan impak kepada pengguna.

Komen