Carian
Sony Melancarkan Tiga Pembesar Suara Baharu Dalam Siri ULT – Field 3, Field 5 Dan Tower 9
April 14, 2025 Amy Maizuraa

Sony telah memperkenalkan tiga model baharu dalam siri pembesar suara ULT iaitu Field 3, ULT Field 5, dan ULT Tower 9. Ketiga-tiga model ini hadir dengan ciri audio yang dipertingkatkan, bass yang lebih kuat, dan bateri tahan lebih lama. Pembesar suara ini juga direka untuk memberikan pengalaman mendengar yang berkualiti tinggi dan lebih menyeronokkan.

ULT Field 3 hadir dengan butang ULT baharu untuk meningkatkan kemampuan bass, serta EQ yang boleh diubah suai. Ia juga menyokong mod Party Connect Sony yang membolehkan sambungan dengan pembesar suara Sony lain untuk bunyi stereo. Selain itu, ia dilengkapi dengan 7-Band EQ (tersedia melalui aplikasi), membolehkan pengguna menyesuaikan bunyi mengikut keutamaan.

Baterinya mampu bertahan sehingga 24 jam dengan penggunaan biasa, sementara itu ciri pengecasan pantas disediakan pula boleh memberikan masa penggunaan dua jam selepas pengecasan selama 10 minit. Pembesar suara ini juga dilengkapi ciri kalis air IP67 serta kalis karat untuk ketahanan tambahan. Dari segi reka bentuk, ULT Field 3 adalah lebih besar dan berat berbanding model ULT Field 1 sebelumnya. Ia turut hadir dengan tali bahu boleh tanggal menjadikannya lebih mudah untuk dibawa.

ULT Field 5 hadir dengan mod ULT2 untuk peningkatan kualiti bunyi. Ia dilengkapi dengan 10-Band EQ yang membolehkan pengguna mengubahsuai bunyi mengikut keutamaan. Mod ini menawarkan dua tahap bunyi, iaitu satu untuk bass yang lebih jelas, dan satu lagi yang menguatkan bass serta treble untuk menghasilkan bunyi yang lantang.

Baterinya mampu bertahan sehingga 25 jam, tetapi apabila kedua-dua mod pencahayaan dan ULT Power Sound digunakan serentak, hayat bateri berkurang kepada 10 jam. Dari segi reka bentuk, ia dilengkapi dengan lampu, tali bahu, serta panel belakang yang menyediakan input untuk audio. Keseluruhan tubuh juga melepasi penarafan kalis air dan debu IP67.

ULT Tower 9 merupakan pembesar suara besar terbaru daripada Sony. Pembesar suara ini dilengkapi dengan mod ULT1 dan ULT2, pencahayaan 360 darjah yang dipertingkatkan, serta kawalan kalis percikan. Reka bentuknya turut diperbaharui dengan pemegang dan roda yang lebih mudah digunakan.

Dari segi komponen dalaman, Tower 9 menawarkan empat tweeter, dua pemacu jarak pertengahan, dan satu woofer. Pembesar suara ini juga mempunyai ciri seperti input untuk mikrofon atau gitar, fungsi TV Sound Booster, serta keupayaan menghasilkan audio stereo. Bateri disediakan mampu bertahan sehingga 25 jam, atau 10 jam apabila lampu dan mod ULT diaktifkan serentak.

Komen