Carian
Ulasan Tecno Camon 40 Pro 5G – Bukan Telefon Koman
April 22, 2025 Effi Saharudin

Peranti mampu milik biasanya hadir dengan skrin, cip, kamera, sokongan dan bateri murahan. Tetapi sejak lima tahun kebelakangan ini, membeli peranti kelas permulaan kini memberikan pengalaman penggunaan yang semakin memuaskan. Beberapa minggu lalu, Tecno Camon 40 Pro dilancarkan pada harga bawah RM900. Kini Tecno Camon 40 Pro 5G pula dilancarkan pada harga sedikit lebih tinggi tetapi akhirnya membawakan sokongan 5G dan ini ulasan kami.

Spesifikasi

Tecno Camon 40 Pro 5G
Skrin6.78″ AMOLED
FHD+, 144Hz
PemprosesMediaTek Dimensity 7300 Ultimate (4nm)
Cip4x Cortex-A78 2.6 GHz
4x Cortex-A55 2.0 GHz
GPUMali-G615 MC2
RAM8 GB LPDDR4x
8GB Memori maya MemFusion
Storan256 GB UFS 2.2
Kamera Utama50MP f/1.9, OIS (Sudut Lebar)
8MP (Ultra Sudut Lebar)
Kamera Hadapan50 MP f/2.5
Bateri5200 mAh
Pengecasan berwayar 45W
SIM/TelefoniDwi SIM/5G
NFCYa
Bicu AudioTiada
Kalis AirIP69
Sistem ImbasanCap jari bawah skrin optikal
Imbasan wajah
HargaRM 1099 (8/256GB)

Skrin

Skrin adalah sebesar 6.78″ AMOLED dengan resolusi FHD+ serta menyokong kadar segar semula 120Hz tetapi bukan dari jenis LTPO. Panel mempunyai saiz bdzel yang sekata tetapi dengan sisi melengkung. Kandungan yang dipaparkan nampak cantik dan setiap sentuhan dikesan baik bersama dengan sistem haptik yang sekadar memuaskan.

Peranti terasa lancar digunakan dan keterangan skrin adalah memuaskan walaupun di bawah cahaya matahari yang terik. Kerana Camon 40 pro ialah peranti kelas mampu milik, skrin tidak menyokong sebarang paparan kandungan HDR. Pengimbas cap jari dari jenis optikal diletakkan di bawah skrin. Ia boleh menyahkunci peranti pada kelajuan yang agak pantas.

Rekaan

Rekaan adalah sama sahaja dengan Camon 40 Pro yang dilancarkan beberapa minggu yang lalu. Saya mempunyai masalah membezakan antara kedua-dua peranti ini dan ini tidak mengejutkan kerana adalah peranti yang sama dengan perubahan dilakukan pada cip pemproses sahaja.

Kerangka diperbuat daripada logam yang membuatkan peranti terasa selesa dalam tangan. Panel belakang juga turut diperbuat daripada logam dengan kemasan yang sedikit kasar. Ia tidak memerangkap sebarang kotoran dengan mudah. Sisi kiri panel belakang adalah lebih tinggi bagi meletakkan tiga bonggol kamera. Penggunaan tiga lensa adalah aneh kerana Camon 40 Pro 5G hanya dilengkapi dua kamera di belakang.

Pada sisi kanan terdapat satu butang kuasa dan dua butang laras audio. Jarang sekali melihat peranti dengan dua butang laras audio di pasaran sekarang. Terdapat sebuah butang khas untuk memanggil pembantu maya Ella yang diperkasakan oleh model AI DeepSeek R1. Butang yang sama juga boleh ditekan untuk melancarkan kamera.

Peranti ini mempunyai rekaan yang agak retro mengingatkan saya kepada rekaan Samsung Galaxy S8. Terasa sama sahaja di dalam tangan dengan perbezaan terletak pada panel belakang S8 diperbuat daripada kaca. Walaupun dilengkapi bateri 5200 mAh, tubuh masih lagi agak nipis.

Di bawah terdapat kekisi speaker, port pengecasan USB-C dan talam untuk dwi-SIM nano. Di atas terdapat sebuah lagi kekisi speaker dan juga pemancar infra merah. Secara keseluruhan peranti terasa selesa dan premium dalam tangan walaupun harga jualannya masih mampu milik. Ia turut melepasi piawaian kalis air dan debu IP69 yang jarang dilihat pada peranti yang berada dalam kelas yang sama.

Penggunaan dan Perisian

Camon 40 Pro 5G dilengkapi sistem operasi HiOS 15 berasaskan Android 15 yang lancar pengalaman penggunanya walaupun dilengkapi cip pemproses yang kurang berkuasa. Antaramuka adalah agak mirip One UI dengan ikon yang dibulatkan. Antara ciri menarik yang disertakan ialah Dynamic Port yang adalah seakan Dynamic Island di iPhone. Dynamic Port menyokong pemain muzik, panggilan telefon, status pengecasan, rakaman audio dan banyak lagi.

Ciri Tecno AI mungkin paling menarik kerana sokongan melakukan alih bahasa masa nyata ketika melakukan panggilan telefon disokong. Samsung hanya menawarkan ciri ini pada peranti mercu sahaja. Terdapat juga ciri mengalih bahasa secara masa nyata menggunakan aplikasi dan bantuan penulisan serta rumusan yang dibantu oleh kecerdasan buatan.

Ciri standard suntingan gambar menerusi AI Gallery juga disertakan dengan ia boleh membesarkan gambar. Proses adalah agak lambat dengan ia mengambil masa sehingga 15 saat untuk setiap gambar. Selain ciri dengan AI, terdapat juga kemampuan menambah memori secara maya sehingga 8GB dan mod kanak-kanak yang mengubah antaramuka yang digunakan. Dalam mod ini juga had masa dan aplikasi boleh ditetapkan oleh pemilik peranti.

Tecno Camon 40 Pro 5G akan menerima kemas kini 3 versi Android dan tampalan sekuriti sehingga 5 tahun yang adalah agak lama untuk peranti yang dijual pada harga bawah RM1200 sebuah di Malaysia.

Penanda Aras

Cip Dimensity 7300 Ultimate yang digunakan ialah cip kelas pertengahan yang dilancarkan setahun yang lalu menggunakan teknologi 4nm. Ia masih hadir dengan empat teras CPU Cortex-A78 dan Cortex-A55 yang dipadankan dengan GPU Mali G615. Oleh sebab itu Tecno Camon 40 Pro 5G serasi dibandingkan dengan peranti dengan cip di bawah.

  • Dimensity 7300 Ultra – Poco X7
  • Snapdragon 7s Gen 2 – Realme 13 Pro+ 5G
  • Dimensity 7300 Energy – Realme 13+ 5G
  • Dimensity 7300 – CMF Phone 1
  • Dimensity 7020 – Infinix Note 40 Pro

AnTuTu 3D

CipSkor
Dimensity 7300 Ultimate688,532
Dimensity 7300 Ultra686,014
Snapdragon 7s Gen 2741,709
Dimensity 7300 Energy613,504
Dimensity 7300644,913
Dimensity 7020450,320

Geekbench 6

CipSatu TerasMulti Teras
Dimensity 7300 Ultimate10173079
Dimensity 7300 Ultra10262936
Snapdragon 7s Gen 29212127
Dimensity 7300 Energy8992763
Dimensity 730010442927
Dimensity 702011203338

3DMark Wild Life Extreme

CipSkor
Dimensity 7300 Ultimate870
Dimensity 7300 Ultra850
Snapdragon 7s Gen 2855
Dimensity 7300 Energy809
Dimensity 7300851
Dimensity 7020N/A

Prestasi menjalankan aplikasi adalah memuaskan untuk peranti kelas permulaan mampu milik. Aplikasi boleh dilancarkan dengan pantas tetapi proses pemasangan aplikasi adalah agak perlahan. Storan UFS 2.2 adalah perlahan jika dibandingkan dengan UFS 4.0 yang digunakan pada peranti pertengahan mercu dan mercu. Ini membuatkan proses melihat gambar diambil selepas kamera ditekan turut mengambil masa beberapa saat.

Prestasi permua pula hanya memuaskan pada tetapan sederhana. Majoriti permua hanya lancar pada tetapan sederhana. Kami tidak boleh sarankan tetapan lebih tinggi pada permua seperti COD Mobile, Mobile Legend, PUBG Mobile dan COD Warzone. Ini ialah isu dengan cip yang masih menggunakan teras Cortex A78. Ini ialah teras ARM V8 yang dilancarkan pada tahun 2020. Lima tahun lalu A78 mungkin cukup berkuasa tetapi teras CPU moden adalah jauh lebih pantas.


Kamera

Kamera utama terdiri daripada lensa sudut lebar 50MP f/1.6 (OIS) dengan lensa ultra sudut lebar 8MP yang dipadankan dengan kamera hadapan 50MP. Untuk sebuah peranti mampu milik. saya rasakan kualiti gambar yang diambil adalah agak baik untuk kelasnya. Ya harus diakui penghasilan semula tidak begitu hidup dan sistem HDR yang digunakan tidak begitu baik. Tetapi dalam majoriti situasi gambar nampak tajam sekiranya diambil dalam situasi pencahayaan yang terang. Sistem OIS membantu untuk memastikan setiap gambar diambil tidak nampak kabus khusus pada lensa utama.

Kualiti gambar jelas berbeza apabila lensa ultra sudut lebar digunakan kerana saiz sensor lebih kecil dan tiada OIS. Jika ada sumber cahaya yang terang, ia “membutakan” kamera. Setiap sumber cahaya dan matahari nampak kembang jika dibandingkan dengan sistem kamera yang lebih baik.


Audio

Terdapat speaker stereo dengan sokongan Dolby Atmos dengan speaker menembak ke sisi di atas serta bawah. Hasilnya ialah kualiti audio seimbang tetapi kedengaran agak rata. Langsung tidak ada dimensi dalam audio yang dikeluarkan speaker walaupun sistem Atmos diaktifkan. Pada tetapan audio yang lantang bunyi mula kedengaran berkecamuk. Audio menerusi speaker agak mengecewakan dan hanya lebih baik apabila menggunakan fon kepala atau fon telinga.

Bateri

Bateri 5200 mAh mampu memberikan pengalaman penggunaan seharian. Pada penggunaan yang sederhana saya dapat menikmati SOT sehingga 8 jam yang adalah yang diharapkan kerana saiz bateri yang agak besar. Pengecasan semula menggunakan pengecas 45W mengambil masa sekitar 90 minit. Tecno menyertakan pengecas 45W dan kabel pengecas dengan setiap pembelian.


Pesaing

Tecno Camon 40 Pro 5GRealme 14 ProSamsung Galaxy A26
6.78″ AMOLED, 120Hz6.77″ OLED, 120Hz6.7″ SAMOLED, 120Hz
Dimensity 7300 Ultimate (4nm)
4x Cortex-A78 2.5 GHz
4x Cortex-A55 2.0 GHz
Dimensity 7300 Energy (4nm)
4x Cortex-A78 2.5 GHz
4x Cortex-A55 2.0 GHz
Exynos 1380 (5nm)
4x Cortex-A78 2.4 GHz
4x Cortex-A55 2.0 GHz
Mali G615 MC2Mali G615 MC2Mali-G68 MP5
8 GB LPDRR4X12 GB LPDRR4X6/8 GB RAM LPDDR4X
256 GB UFS 2.2256/512 GB UFS 2.2128/256 GB UFS 2.2
Mikro SD 2TB
Kamera Utama
50 MP, f/1.6 (Sudut Lebar), OIS
8 MP (Ultra Lebar)
Kamera Utama
50 MP, f/1.8 (Sudut Lebar), OIS
2 MP (Monokrom)
Kamera Utama
50 MP, f/1.8 (Sudut Lebar)
8 MP, f/2.2 (Ultra Lebar)
2 MP, f/2.4 (Kedalaman)
Kamera Hadapan
50MP f/2.5
Kamera Hadapan
16 f/2.4 MP
Kamera Hadapan
13MP f/2.2
IP69IP69IP67
Tiada bicu audioTiada bicu audioTiada bicu audio
Audio StereoAudio StereoAudio Mono
5200 mAh
Berwayar 45W
6000 mAh
Berwayar 45W
5000 mAh
Berwayar 25W
RM 1099 (8/256GB)RM 1499 (12/256GB)
RM 1799 (12/512GB)
RM 1199 (6/128GB)
RM 1399 (8/256GB)

Dalam Kotak

Berikut ialah apa yang diterima dalam kotak dengan setiap pembelian.

  • 1x Tecno Camon 40 Pro 5G
  • 1x Kerangka plastik
  • 1x Kabel pengecas USB-A ke USB-C.
  • 1x Kepala pengecas 45W USB-A
  • 1x Manual.
  • 1x Pin SIM.

Kesimpulan

Tecno Camon 40 Pro 5G menawarkan pakej yang menarik kerana mempunyai kemampuan kamera yang baik dengan OIS untuk kelasnya, perisian yang lengkap, ciri AI yang canggih dan kapasiti bateri besar yang tahan lama. Malahan ia turut akan menerima 3 versi Android dan 5 tahun tampalan sekuriti. Ia bukanlah peranti yang paling berkuasa di pasaran tetapi ia bukanlah peranti koman walaupun dijual pada harga RM1099 sebuah.

Pro

  • Rekaan yang menarik dan selesa dalam tangan.
  • Kemampuan kamera yang baik untuk kelasnya.
  • Bateri besar tahan lama.
  • Kalis air dan debu IP69
  • Sokongan perisian 3+5 tahun

Kontra

  • Sistem audio Dolby Atmos tidak menyerlah.
  • Prestasi gaming tidak begitu baik.

Komen