MG S5 EV Bakal Dilancarkan Pada Harga Sekitar RM 115K
Ikhwan Nazri
Menuju acara Malaysia Auto Show yang bakal berlangsung pada bulan Mei 2025 ini menyaksikan pelbagai jenama mula mempertontonkan kenderaan baharu mereka. MG yang turut menawarkan kereta elektrik pada hari ini telah mempamerkan kereta elektrik terkini mereka iaitu MG S5 EV.

Jika model eletrik terkini dari MG adalah MG Cyberster yang diumumkan pada acara KL International Motorshow pada tahun lalu adalah dalam kelas ‘roadster’, kereta elektrik MG S5 EV ini merupakan SUV segmen-B, dimana ia mempunyai profil saiz dan pengkelasan sama dengan Proton eMAS 7 dan BYD Atto 3, dan akan bersaing sengit dalam kelas ini. Ia tampil dengan spesifikasi, fungsi serta aksesori yang boleh membuatkan Proton dan BYD tidak akan senang duduk.
Terdapat dia versi yang ditawarkan dengan perbezaan kapasiti bateri. Versi pertama mempunyai bateri sebesar 49 kWh yang memberikan jarak perjalanan sejauh 340 KM dan mempunyai pengecasan pantas DC 120 kW membolehkan pengecasan 10%-80% dalam masa 24 minit.

Versi yang mempunyai bateri lebih tinggi pula mempunyai bateri sebesar 62.2 kWh yang memberikan jarak perjalanan sejauh 430 KM namun mempunyai pengecasan DC lebih pantas, iaitu 150 kW membolehkam pengecasan 10%-80% dalam masa 26 minit. Kedua-dua versi ini mempunyai pengecasan AC 6.6 kW.

Dari segi prestasi, ia dikuasakan satu motor elektrik di bahagian belakang yang boleh memberikan jumlah kuasa 125 kW dan 250 Nm tork, membolehkan pecutan 0-100km/j dalam masa 6.1 saat. Antara fungsi lain termasuklah V2L, sokongan Apple CarPlay dan Android Auto nirwayar, paparan instrumen 10.25-inci, paparan inforia 12.8-inci, 7 beg udara dan juga sistem swapandu ADAS tahap 2. Untuk versi bateri 62 kWh, ia juga mempunyai bumbung panorama lutcahaya, sistem audio premium 6 pemebsar suara dan juga kamera 360 darjah.

Buat masa ini harga akhir belum diumumkan, namun MG Malaysia menyasarkan untuk menjualnya sekitar RM 115,000. Pada harga tersebut, ia adalah akan bersaing rapat terutamanya dengan Proton e.MAS 7 versi Prime, dan juga BYD Atto 3. Sama-sama kita nantikan pelancaran rasminya tidak lama lagi.