OpenAI nampaknya sedang dalam proses untuk mengetatkan sistem keselamatan disebalik penggunaan teknologi model bahasaraya (LLM) mereka. Pada minggu lepas, mereka telah mengumumkan bahawa di masa hadapan kelak, syarikat-syarikat yang mahu memanfaatkan teknologi AI mereka akan perlu melalui sistem pengesahan identiti sebelum dibenarkan akses kepada teknologi AI mereka untuk kegunaan komersial.
Mereka telah mengemaskini laman FAQ mereka dengan pengenalan tentang sistem verifikasi baru mereka yang dinamakan Verified Organization, iaitu sebuah status yang memberikan syarikat-syarikat akses kepada model bahasaraya dan teknologi AIi terbaru OpenAI.

Untuk mendapatkan status ini, sesebuah syarikat perlu mengesahkan bahawa API OpenAI boleh diakses di negara mereka, dan seorang individu perlu menggunakan kad identiti mereka untuk memastikan kesahihan syarikat mereka.
Pengesahan identiti ini perlu dilakukan setiap 90 hari, dan tiada pembayaran tambahan perlu dilakukan, khususnya apabila syarikat anda sudahpun melanggan pada pelan LLM OpenAI. Pengesahan identiti ini adalah satu langkah tambahan untuk memastikan bahawa teknologi AI mereka digunakan dengan berhemah, dan untuk mengekang kecurian hak intelek OpenAI, yang merupakan salah satu kerisauan mereka berkenaan kenaikan populariti DeepSeek, LLM dari China yang sangat popular.
Perlu juga diingatkan bahawa pengesahan Verified Organization ini hanyalah untuk syarikat-syarikat yang menggunakan teknologi dan API OpenAI untuk membangunkan teknologi AI mereka sendiri.
OpenAI mengatakan lagi bahawa mereka menyokong pengesahan identifikasi dari 200 buah negara, dan mereka mengatakan bahawa keperluan pengesahan identiti ini akan dilanjutkan dari semasa ke semasa. Buat masa ini, China telah diharamkan daripada menggunakan teknologi OpenAI seperti ChatGPT.