Sony telah mengumumkan kenaikan harga jualan konsol PlayStation 5 di pasaran Eropah, UK, New Zealand dan Australia hari ini. Menurut Sony harga telah dinaikkan kerana persekitaran ekonomi yang mencabar seperti inflasi yang tinggi dan kadar pertukaran yang turun naik.

Di Eropah dan UK, hanya harga PS5 Digital Edition sahaja dinaikkan tetapi di New Zealand dan Australia edisi digital dan dengan pemacu Blu-Ray kedua-duanya meningkat. Harga pemacu Blu-Ray yang dijual berasingan turut telah dinaikkan bermula hari ini. Harga jualan PlayStation 5 Pro walau bagaimanapun masih tidak berubah. Perubahan harga jualan adalah antara 30-50 Euro/Pound/Dollar Australia/Dollar New Zealand bergantung kepada pasaran.
Sony turut mengatakan harga jualan PS5 dan pemacu Blu-Ray turut akan dinaikkan di pasaran EMEA tetapi tidak pula menyatakan negara mana yang terkesan serta harga jualan baharu. Ini adalah petanda awal harga jualan konsol berusia lima tahun ini mungkin akan dinaikkan juga di pasaran lain termasuk Malaysia dalam masa terdekat. Lazimnya harga konsol akan dikurangkan selepas setengah dekad tetapi sebaliknya berlaku pada PS5.
Pada ketika ini harga jualan PS5 di Malaysia adalah seperti di bawah.
- PS5 Digital Edition – RM 2069
- PS5 Disc Edition – RM 2499
- PS5 Pro – RM 3849