Garis Masa Kemaskini Untuk Kenderaan Elektrik Proton eMas 7 Diperlihatkan
Nazrin
Proton telah memperkenalkan kenderaan elektrik pertama mereka, Proton eMas 7 beberapa bulan yang lalu, dan ia boleh dikatakan sangat popular di kalangan peminat Proton dan juga mereka yang mahu membeli kenderaan elektrik pertama mereka.
Walaupun begitu, kenderaan eMas 7 ini masih mempunyai beberapa aspek yang boleh diperbaiki, khususnya dari segi sokongan peranti pintar dan sejumlah ciri-ciri lain yang nampaknya pihak Proton sendiri sudah sedari dan sedang dalam proses untuk menambahbaik pada kenderaan tersebut.

Paultan.org telah melaporkan bahawa Proton akan memperkenalkan kemaskini OTA setiap suku tahunan, dan kemaskini pertama telahpun mula dikeluarkan, iaitu Flyme Auto S versi 1.1.4 yang memperkenalkan butang memulakan dan menamatkan pengecasan pada paparan skrin kereta, pengoptimasian brek kereta dan ciri yang membolehkan pemilik untuk menjejak lokasi kenderaan walaupun ia berada dalam sleep mode.
Kemaskini seterusnya akan diperkenalkan pada bulan Julai 2025 kelak, yang akan memperkenalkan sokongan Apple Car Play secara nirwayar, kemaskini kepada bunyi “lori ais krim” yang tidak boleh ditutup/tukar sebelum ini dan juga penambahbaikan kepada kebolehan untuk mengimbas frekuensi untuk stesen radio didalam kereta.

Pada bulan Oktober pula, sokongan untuk Apple Car Play berwayar akan diperkenalkan, manakala sokongan untuk Android Auto akan diperkenalkan pada kemaskini bulan Disember kelak.
Mereka yang berminat untuk membeli Proton eMas 7 sebagai kenderaan elektrik pertama mereka kini boleh mempertimbangkannya, dengan kemaskini-kemaskini ini yang akan diperkenalkan sepanjang tahun ini.
[sumber]Paultan.org[/sumber]