Carian
Apple Kembali Menjadi Syarikat Bernilai $3 Trilion
April 15, 2025 Effi Saharudin

Pasaran saham Amerika Syarikat kembali pulih selepas Presiden Trump bersetuju menangguh penguatkuasaan tarif selama 90 hari untuk kebanyakan negara dunia. Nilai syarikat teknologi dunia kini secara beransur-ansur meningkat semula dan pagi ini Apple berjaya mengembalikan statusnya sebagai syarikat dengan nilai pasaran melebih $3 trilion.

Nilai satu unit saham Apple kini meningkat lebih 2% ke $202 dan meletakkan nilai pasarannya mencecah $3.042 trilion. Ia kini satu-satunya syarikat di dunia dengan nilai melebihi $3 trilion. Microsoft dan NVIDIA dahulunya turut menyertai kelab eksklusif ini tetapi hari ini saham syarikat menunjukkan trend penurunan.

Walaupun tarif ditangguh 90 hari, Amerika Syarikat masih mengenakan tarif 145% ke atas import produk dari China. Pengecualian untuk cip, bahan semikonduktor, peralatan elektronik dan komputer turut disahkan adalah sementara sahaja menanti pengumuman baharu Trump dalam masa terdekat.

Tekanan diberikan kepada syarikat utama dunia untuk memindahkan operasi pengilangan dari China kembali ke Amerika Syarikat dalam masa terdekat. Tetapi impian ini mungkin lebur sebelum sempat dijalankan selepas China mengenakan halangan eksport unsur nadir bumi ke Amerika Syarikat sebagai balasan tarif yang dikenakan.

Komen