Carian
Xpeng Berkongsi Mengenai Senibina SEPA 3.0 – Pengecasan 10-80% Dalam Masa 12 Minit, Jarak Elektrik Sejauh 430 KM, Jarak Hibrid Sehingga 1400KM
April 15, 2025 Ikhwan Nazri

Hari ini Xpeng mengadakan acara bersama media dan berkongsi sedikit sebanyak mengenai pelbagai perkara dan salah satunya adalah teknologi elektrik yang mereka sedang bangunkan. Jacky Gu merupakan pengerusi yang bertanggungjawab dlaam bahagian pacuan elektrik berkongsi mengenai SEPA 3.0, ia merupakan akronim kepada Smart Electric Platform Architecture yang termaju namun masih menggunakan senibina 800V namun dipertingkat keupayaannya terutamanya dari segi jarak dan kecekapan penggunaan. 

Sehingga kini, kereta elektrik yang dijual Xpeng seperti G6, G9 dan yang baru dilancarkan di Malaysia iaitu X9 ini menggunakan senibina 800V, yang membolehkan kelajuan pengecasan dipertingkat. Ketiga-tiga kenderaan ini menggunakan SEPA 2.0, bateri dapat dicas lebih pantas, seperti G6 dapat dicaj 20-80% dalam masa kurang 20 minit.

Hari ini mereka berkongsi info lanjut mengenai platform terbaharu mereka iaitu SEPA 3.0 yang mempunyai jarak elektrik 430 km atau boleh memberikan jarak hibrid sehingga 1400km meskipun keduanya menggunakan senibina 800V. Platform SEPA 3.0 ini juga dapat menjimatkan saiz enjin coaxial 30% lebih kecil dari sebelumnya, ia mempunyai motor elektrik coaxial yang menyokong senibina 800V, dapat menghasilkan tork maksimum sehingga 4800 Nm dan menggunakan pek bateri yang kalis peluru. Menerusi SEPA 3.0 ini juga, pek bateri dapat mempercepat pengecasan 10-80% sehingga sepantas 12 minit, mempunyai ketumpatan tenaga 145 Wh / kg, kalis air air IP 68, dan menggunakan penyejukan cecair.

Platform SEPA 3.0 ini juga membawa manfaat kepada sistem hibrid, dimana bukan sahaja jarak yang ditawarkan sehingga 1400km, malah dari segi bunyi hingar enjin yang hanya bertambah sebanyak 1dB sekiranya enjin berfungsi. Professor Chen Qing Quan yang digelar sebagai ‘Bapa Industri Kereta Elektrik Asia’ turut menyatakan keperluan sistem hibrid untuk menambah jarak perjalanan kerana bateri yang terlalu padat mempunyai risikonya yang tersendiri. Justeru jika hibrid dapat menambah jarak perjalanan, ia merupakan jalan penyelesaian yang lebih efektif. 

SEPA 3.0 akan digunakan pada kereta elektrik dan juga bibrid keluaran Xpeng akan datang dan dengan pengenalan platform ini, pastinya memudahkan bakal pengguna untuk mengurangkan masa pengecasan dalam perjalanan seharian.

Komen