Hugging Face merupakan salah satu firma yang popular dengan penawaran model-model kecerdasan buatan, selain pada masa yang sama mendemokrasikan pembangunan kecerdasan buatan melalui penawaran sumber terbuka. Kini, selain daripada penawaran model kecerdasan buatan, Hugging Face turut mengambil-alih sebuah syarikat memfokuskan pembangunan robotik, dinamakan Pollen Robotics.
Menariknya mengenai penawaran Pollen Robotics adalah robot mereka yang berbentuk manusia dinamakan Reachy 2 boleh menjalankan pelbagai model AI melaluinya. Ia direkabentuk untuk menyokong pelbagai penawaran perisian sumber terbuka – sekaligus menjadikannya sangat sesuai untuk tujuan kajian, pembangunan dan lain-lain.
Pengambil-alihan ini juga selari dengan visi Hugging Face dalam memperluaskan konsep sumber terbuka, dan kini turut meliputi arena robotik. Robot yang dibangunkan dengan perisian sumber terbuka serta model AI terbuka juga dijangka menawarkan sekuriti dan keselamatan lebih baik berbanding model tertutup.
Bergerak kehadapan, Hugging Face turut merancang untuk menawarkan sumber untuk perkakasan robotik berkenaan secara sumber terbuka, membolehkan sesiapa yang berminat melalukan cetakan 3D, dan membangunkannya sendiri.