Jika anda sedang menantikan penawaran kad grafik kelas pertengahan/mampu milik terbaru daripada NVIDIA, syarikat tersebut baru sahaja mengumumkan ketibaan kad-kad grafik NVIDIA GeForce RTX 5060 Ti dan GeForce RTX 5060.

Bermula dengan NVIDIA GeForce RTX 5060 Ti, ia akan menggunakan GPU GB206-300 yang mempunyai 4608 teras CUDA dengan pilihan memori GDDR7 16GB dan GDDR7 8GB dan hadir dengan TDP 180W.

Untuk kad grafik NVIDIA GeForce RTX 5060, ia menggunakan cip grafik GB206-250 dengan 3840 teras CUDA dengan memori GDDR7 8GB dan juga mempunyai TDP 180W yang sama.
Walaupun di kelas pertengahan, kad-kad grafik ini masih lagi menggunakan cip grafik Blackwell yang sama, dan mempunyai keupayaan mengolah grafik yang sama, termasuklah sokongan untuk teknologi DLSS 4 terbaru yang terdiri daripada DLSS Super Resolution dan DLSS Ray Reconstruction.

Cuma, tidak seperti model-model yang lebih berkuasa, kedua-dua kad grafik ini tidak akan hadir dengan model Founders Edition, jadi anda hanya boleh membelinya melalui rakan-rakan pembangun teknologi seperti ASUS, MSI, Gigabyte, ZOTAC dan sebagainya.
NVIDIA mengatakan bahawa kad grafik ini akan hadir dengan harga permulaan $299 untuk kad grafik NVIDIA GeForce RTX 5060, nanakala kad grafik NVIDIA GeForce RTX 5060 Ti akan hadir dengan harga $379 untuk model dengan memori 8GB dan $429 untuk model dengan 16GB. Untuk model komputer riba pula, kad grafik ini akan mula diperkenalkan pada komputer-komputer riba gaming dengan harga permulaan $1099.
Kedua-dua model kad grafik tersebut akan mula ditawarkan pada bulan Mei 2025 ini.