Carian
Acer Super ZX dan Super ZX Pro Dilancarkan Dengan Cip Dimensity 7400 
April 16, 2025 Effi Saharudin

Jenama Acer kembali ke pasaran telefon pintar dengan pelancaran  Acerpure Acerone Liquid S162E4 dan Acerpure Acerone Liquid S272E4 pada Mac lalu. Hari ini Acer Super ZX dan Super ZX Pro pula telah dilancarkan sekali lagi untuk pasaran India sahaja. Acer melesenkan penggunaan jenama mereka kepada syarikat Indikal Technologies di negara ini selepas syarikat berhenti menawarkannya sejak 2016.

Acer Super ZX Pro dilengkapi skrin 6.67″ AMOLED FHD+ dengan kadar segar semula 120 Hz, dijana cip Dimensity 7400, memori sehingga 12GB RAM, storan sehingga 512GB dan bateri 5000 mAh yang menyokong pengecasan 33W.

Kamera utama di belakang terdiri daripada lensa sudut lebar 64MP Sony-LYT882, lensa ultra sudut lebar 5MP dan lensa mengesan kedalaman 2MP. Di hadapan sensor 13 MP digunakan pada kamera swafoto. Peranti hadir dengan pengimbas cap jari bawah skrin, audio stereo, kalis air IP64 dan sistem operasi Android 15.

Acer Super ZX pula dilengkapi skrin 6.7″ LCD FHD+, dijana Dimensity 6300, memori sehingga 8GB RAM, storan sehingga 256GB dan bateri sebesar 5000 mAh dengan pengecasan 33W

Kamera utama di belakang terdiri daripada lensa sudut lebar 64MP Sony IMX682, lensa makro 2MP dan lensa kedalaman 2MP. Di hadapan kamera 13MP digunakan. Peranti mempunyai pengimbas cap jari sisi terbina pada butang kuasa dan menggunakan Android 15.

Harga jualan peranti bermula daripada INR 17,999 (~RM 928) untuk Acer Super ZX Pro dan bermula INR 9,999 (~RM 516) untuk Acer Super ZX.

Komen