Carian
Mesin Basuh, Pembersih Hampagas dan Peti Sejuk Samsung Bespoke AI Dilancarkan Di Malaysia
April 17, 2025 Effi Saharudin

Sistem kecerdasan buatan (AI) kini mula diintegrasikan di tempat kerja dan juga telefon pintar di tangan. Perkembangan teknologi ini adalah amat pesat khususnya sejak dua tahun kebelakangan. Hari ini Samsung secara rasmi melancarkan mesin basuh, pembersih hampagas dan peti sejuk dengan sistem Bespoke AI akhirnya dilancarkan secara rasmi di Malaysia.

Menerusi Bespoke AI, setiap kelengkapan rumah ini dapat diakses menerusi SmatThings membolehkan ia dipantau dan dikawal secara setempat. Peti sejuk Samsung Bespoke AI Side-by-Side Refrigerator pula hadir dengan skrin 9″ terbina pada pintu. Menerusi skrin ini menjawab panggilan telefon, memantau kamera pintar rumah dan mengawal penstriman muzik dapat dilakukan menggunakan peti sejuk.

Ciri paling unik ialah peti sejuk boleh dibuka dengan hanya menyentuh sensor di permukaan pintu atau menerusi arahan suara Bixby. Penggunaan tenaga elektrik juga dapat dikurangkan sehingga 10% menggunakan ciri AI Energy Mode. Pemilik boleh melihat sendiri penggunaan tenaga peti sejuk ini terus daripada aplikasi SmartThings.

Samsung Bespoke AI Jet Ultra pula ialah mesin penyedut hampagas nirkabel yang paling berkuasa di pasaran dengan kuasa 400W menurut Samsung. Dengan sekali caj ia boleh beroperasi sehingga 100 minit. Terdapat skrin LCD terbina membolehkan tahap bateri, jenis sedutan dan notifikasi daripada telefon pintar dilihat oleh pengguna.

Apabila panggilan telefon diterima misalnya, ia akan dipaparkan terus pada skrin untuk mendapatkan perhatian mereka. Kemudian mesin penyedut akan berhenti secara automatik. Ia hanya kembali hidup apabila diaktifkan sendiri oleh pengguna secara manual.

Akhir sekali lima model mesin basuh Samsung Bespoke AI Top-Load Washer dilancarkan dengan kapasiti basuhan antara 13-21 kg. Setiap mesin hadir dengan sistem AI Wash, AI Energy Mode, dan AI Vibration Reduction Technology Plus yang bukan sahaja memastikan pakaian boleh dibasuh dengan lebih baik tetapi pada waktu yang sama menjimatkan penggunaan tenaga.

AI Wash secara automatik mengesan jenis fabrik, berat, dan jenis basuhan yang perlu dilakukan untuk pembersihan optimum dibantu oleh sistem Ecobubble. AI Energy Mode pula menurut Samsung mampu mengurangkan penggunaan kuasa elektrik sehingga 25%.

Harga jualan kesemua peranti Bespoke AI yang dilancarkan hari ini adalah seperti di bawah.

  • Samsung Bespoke AI Side-by-Side Refrigerator – RM 10,599
  • Samsung Bespoke AI Jet Ultra – RM 3599 
  • Samsung Bespoke AI Top-Load Washer – RM 2199 – RM 2949
Komen