Carian
Amerika Syarikat Mengharamkan Penjualan Cip AI NVIDIA H20 Ke China
April 17, 2025 Nazrin

Dalam kehendak untuk menyekat lagi kemaraan syarikat-syarikat China dalam membangunkan teknologi kecerdasan buatan maju, kerajaan Amerika Syarikat telah mula mengharamkan secara terus penjualan cip kecerdasan buatan NVIDIA H20.

Keputusan kerajaan Amerika Syarikat untuk mengharamkan cip tersebut dilihat aneh kerana cip NVIDIA H20 ini dibangunkan khusus untuk pasaran China, dimana ia mengikut spesifikasi yang dibenarkan oleh kerajaan Amerika Syarikat sebelum ini untuk membolehkan NVIDIA mengeksport komponen tersebut ke negara itu.

NVIDIA telah mengesahkan perkara ini, dan menganggarkan bahawa mereka akan mengalami kerugian kira-kira $5.5 bilion kerana dengan sekatan ini, mereka tidak boleh menjual inventori cip H20 sedia ada kepada mana-mana syarikat China dengan serta-merta.

China merupakan pasaran paling penting untuk NVIDIA selepas Amerika Syarikat. Pada tahun lepas, ia dianggarkan bahawa jualan komponen kad grafik dan cip AI di pasaran tersebut sahaja telah menjana pendapatan sebanyak $17 bilion, yang mana ia dianggarkan sekitar 13 peratus daripada jumlah jualan global untuk syarikat tersebut.

Pada tahun ini, NVIDIA telah menerima pesanan untuk cip-cip NVIDIA H20 bernilai $18 bilion daripada syarikat-syarikat seperti Tencent, Alibaba dan ByteDance yang mana kesemuanya mahu meningkatkan lagi keupayaan AI mereka dengan teknologi-teknologi baru.

Ia dijangka bahawa selepas ini, syarikat-syarikat tersebut akan menggunakan khidmat Huawei, khususnya cip Huawei 920C untuk keperluan AI mereka.

Pendapatan dan keuntungan NVIDIA dijangka akan menurun secara mendadak dengan keputusan terbaru ini, dan kebergantungan syarikat teknologi China kepada teknologi buatan negara mereka sendiri akan terus meningkat.

Komen