Carian
Sistem NAS Synology Terbaru Memerlukan Storan Tersendiri Untuk Memanfaatkan Ciri-Ciri Penuh
April 17, 2025 Nazrin

Synology ialah sebuah jenama teknologi storan yang dikenali untuk produk-produk storan kelas enterprise dan pengguna yang mana produk-produk seperti mesin pelayan storan dan juga NAS (Network Attached Storage) dilihat popular digunakan oleh pengguna-pengguna biasa dan juga syarikat-syarikat kecil.

Terkini, bersama-sama dengan pengenalan siri NAS Synology Plus Series terbaru mereka, Synology mengesahkan bahawa untuk mendapat manfaat penuh daripada sistem storan NAS terbaru ini, pengguna akan perlu menggunakan storan Synology tersendiri.

Diantara ciri-ciri yang tidak boleh diakses sekiranya pengguna menggunakan cakera keras pihak ketiga termasuklah laporan kesihatan cakera keras, analisa jangka-hayat storan, penduaan storan secara besar-besaran dan kemaskini perisian tegar (firmware) secara automatik.

Ini bukanlah untuk mengatakan bahawa storan pihak ketiga tidak lagi boleh digunakan, tetapi ciri-ciri yang dinyatakan diatas tidak boleh diakses pengguna, dan sekiranya anda bekerja di pejabat, dan mahu memastikan bahawa storan cakera keras anda sihat dan boleh digunakan sebelum perlu digantikan.

Ia dijangka bahawa cakera-cakera keras Synology ini sebenarnya mungkin dibangunkan oleh syarikat-syarikat seperti Toshiba ataupun Western Digital, dan hadir dengan DRM terbina untuk memastikan ciri-ciri tambahan ini hanya dapat diakses melalui sistem tersebut.

Synology juga mengesahkan bahawa perkara ini hanya akan diperlihatkan pada sistem NAS Synology Plus Series terbaru mereka, dan model-model yang dilancarkan sebelum tahun ini tidak akan menghadapi isu ini.

Ini bukanlah kali pertama Synology mengehadkan sokongan ciri-ciri seperti ini. Beberapa tahun lalu, mereka telah mengehadkan ciri-ciri seperti ini pada penawaran perusahaan mereka untuk pusat data dan mesin pelayan storan mereka, dimana syarikat-syarikat perlu menggunakan storan Synology sendiri.

Terdapat kemungkinan bahawa Synology juga akan memperkenalkan senarai cakera keras “rasmi” parti ketiga yang boleh digunakan bersama-sama NAS baru mereka kelak, tetapi tidak mengesahkan bilakah ia akan dilakukan.

Untuk syarikat-syarikat besar, ia secara lazimnya bukanlah satu isu untuk membeli storan-storan seperti ini, tetapi untuk syarikat-syarikat kecil yang mungkin mahu mengurangkan kos perbelanjaan operasi sebanyak yang mungkin, ini mungkin sesuatu yang agak sukar untuk diterima.

Komen