Kerajaan China mengeluarkan arahan mengharamkan penggunaan terma “swapandu” dan “pemanduan pintar” dalam pengiklanan kereta di negara tersebut. Langkah drastik diambil beberapa minggu selepas insiden kemalangan maut melibatkan sebuah Xiaomi SU7.

Kementerian Industri dan Teknologi Maklumat China mengadakan pertemuan dengan hampir 60 wakil syarikat automotif semalam sebelum arahan dikeluarkan. Selain mengharamkan penggunaan dua terma ini pada iklan, kementerian turut memperketatkan ujian lebih menyeluruh pada sistem ADAS dan memerlukan kelulusan pihak berkuasa terlebih dahulu sebelum kemas kini diberikan kepada kereta pelanggan.
Dalam kemalangan yang mengorbankan tiga individu Mac lalu, sistem swapandu Xioami SU7 dikesan diambil alih oleh pemandu beberapa saat sebelum ia melanggar tebing konkrit di tepi jalan. Walaupun kemalangan berlaku pada kelajuan 97 km/j, tiada penumpang terselamat dengan kenderaan elektrik ini kemudiannya terbakar.